Source: Roketkini.com
Oleh
Izmil Amri
19
April 2012
“Jangan
tagih simpati,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin; memberi
respon kepada serangan puluhan samseng yang bertindak memusnah dan menyepak
terajang anak mahasiswa di Dataran Merdeka awal pagi tadi.
“Takde
siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa2 perkara, jgn tagih
simpati” kata beliau di laman rangkaian sosial Twitter tengah hari tadi.
Demikianlah betapa baik hatinya seorang Menteri, seolahnya meredhakan keganasan
berlaku atas alasan politik.
Samseng
menyerang
Sekitar
jam 2:30 pagi sekumpulan pemuda berpakaian serba hitam datang menghampiri
mahasiswa dan anak muda serta penyokong mereka yang sedang duduk di Dataran
Merdeka. Kehadiran mereka disedari sejak awal, tetapi niat mereka tidak pula
diketahui. Sebahagiannya berlegar di bahagian padang dan segerombolan lagi duduk di
tepi-tepi jalan.
Setelah
beberapa pekikan kedengaran menyuruh “Bangun” dan “Balik tidur rumah” kumpulan
pemuda tersebut mula merentap khemah-khemah yang terpasang dan menyerang para
mahasiswa dengan ancaman kekerasan fizikal sambil menuturkan caci maki kepada
mereka yang tetap duduk di lantai Dataran Merdeka.
Lima belas khemah anak
muda mahasiswa dirosak dan dirobohkan. Satu daripadanya didiami oleh seorang
mahasiswi yang sedang tidur. Beliau terjaga dari lena apabila kepalanya
ditendang dari luar khemah oleh gerombolan samseng yang datang menyerang
mendesak supaya anak muda mahasiswa “balik rumah” dan “mengenang jasa kerajaan
memberi pendidikan” kepada mereka.
Sebahagian
daripada pemuda samseng ini kemudiannya bertindak menghalang gambar mereka
diambil dan mula mengejar dan menyerang hadirin yang mengambil gambar demi
merampas kamera mereka. Tabung sumbangan, kain rentang semuanya disepak
terajang sehingga terpelanting jauh. Khemah-khemah diroboh dan direntap,
manakala anak mahasiswa dipukul dan diugut serta dicerca dengan kata-kata
kesat.
Apa
yang lebih menghairankan, anggota Cawangan Khas dan pegawai polis beruniform
yang berada hanya sepelaung dari tempat kejadian tidak pula bertindak
menghalang atau menghentikan keganasan yang terjadi, tetapi sekadar berdiri
memerhati dan membuat rakaman seperti yang kononnya ditugaskan.
Ada juga yang turut ke
tengah dan menghalang daripada mahasiswa diapa-apakan, tetapi anak muda tetap
menjadi mangsa kena belasah samseng.
Penydudahnya
hari ini Unit Amal PAS menawarkan khidmat untuk menjaga keselamatan para
mahasiswa dan anak muda yang pada hari ini genap enam hari bertapak di Dataran
Merdeka, menuntut pendidikan percuma dan pembatalan bebanan hutang PTPTN.
Budaya
samseng budaya UMNO?
Budaya
provokasi dan keganasan politik bukan sesuatu yang baru dalam modus operandi
pihak pemerintah yang dikepalai United Malays National Organisation (UMNO).
Apabila hujah dan fakta sudah tidak boleh dibalas dengan hujah dan fakta, maka
percakapan dengan kaki dan tanganlah yang menjadi pilihan mereka.
Jelas
politik ketakutan merupakan senjata kepimpinan UMNO untuk meletakkan rakyat
dalam sangkar pembodohan dan ketaatan membuta tuli.
Kita
pastinya masih ingat kepada ceramah Asalkan Bukan UMNO (ABU) Januari lalu di
Jalan Kebun yang menerima serangan menggila daripada balaci-balaci ganas UMNO
yang memecahkan kerusi dan memukul seorang peserta ceramah bagi menimbulkan
ketakutan rakyat agar akhirnya menjauhi majlis-majlis penerangan yang
menonjolkan salah urus tadbir negara oleh UMNO.
Bukti-bukti
terbaru menunjukkan bahawa ada kebarangkalian bahawa samseng yang mencetuskan
huru-hara di Dataran Merdeka malam semalam, ada orang yang sama
bertanggungjawab menimbulkan kekecohan di Jalan Kebun. Ada iras-iras wajahnya dan kemeja-t yang
dipakai tatkala bertemu Senator Ezam Mohd Noor (bekas orang kuat Anwar Ibrahim
yang kini mengutuk hebat idolnya sekarang).
Kita
juga pasti masih belum lupa kepada provokasi ganas yang didalangi UMNO di
Speaker’s Corner Pulau Pinang apabila rakyat berhimpun menyatakan bantahan
terhadap loji nadir bumi Lynas dalam Himpunan Hijau di sana. Ada wartawan yang dipukul sehingga cedera
berat, dan kereta Ketua Menteri Pulau Pinang juga hampir mahu dirosakkan.
Kita
juga tidak lupa kepada penumbuk yang hampir hinggap ke wajah manis Ahli Parlimen
Lembah Pantai, sang Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar apabila berceramah di
Felda Lepar Hilir, Gambang Pahang.
Tolak
keganasan demi masa depan kita
Budaya
gangster begini tidak ada tempat dalam budaya politik baru. Kalau pun tidak
bersetuju atas sesuatu perkara, adalah lebih bijak dan mulia untuk mengambil
jalan diplomasi dan berbincang serta berdebat dengan menggunakan hujah dan
fakta.
Masalahnya
apabila tidak rajin berfikir dan membaca, maka berfikirlah guna kepala lutut
dan bercakaplah dengan penumbuk dan penendang. Inilah malangnya nasib umat
Melayu yang terperangkap dalam pembodohan yang didalangi UMNO selama ini.
Taktik
politik kotor dan terkutuk ini mesti dihentikan demi menuju negara yang lebih
adil dan berdemokrasi. Tambahan kepada itu, dalam zaman sains dan teknologi
ini, adalaa tidak bijak untuk menggunakan kekuatan fizikal untuk mengugut dan
menakutkan musuh politik, kerana berita tersebar dengan sangat laju dan mampu
memberi persepsi yang bertambah buruk kepada tuan kepada pesuruh-pesuruh yang
bikin huru hara ini.
Sepatutnya
pihak pemerintah lebih cerdik dan belajar daripada kesilapan lalu. Sepatutnya
pihak pemerintah insaf dan memeriksa keadaan. Tetapi nyatanya para pemimpin
UMNO dan penyokong-penyokong mereka tidak belajar. Menteri pun masih degil
dalam dunia khayalan kuasanya.
Kita
perlu tolak keganasan demi masa depan kita sendiri. Semoga semangat baru akan
bangkit dari hari semua rakyat Malaysia
untuk membawa perubahan yang paling besar dalam sejarah negara pada pilihan
raya umum akan datang. – Roketkini.com

没有评论:
发表评论