Source:
The Malaysian Insider
January 15, 2012
Sempena Persidangan Kebangsaan DAP 2012 tempoh hari, Jawatankuasa Tertinggi Pusat telah membentangkan “Deklarasi Shah Alam” sebagai juadah intelektual terbaru dalam agenda parti untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Perisytiharan yang dibuat ini melambangkan modal siasah baru yang cuba dipacu oleh DAP demi memupuk satu wadah kenegaraan yang berkisar pada dasar dan bukan sekadar isu-isu sensasi.
Teras asas dalam perisytiharan tersebut adalah isu ekonomi yang diulas melalui konsep “solidariti ekonomi”. Intisari perisytiharan tidak perlu diulangi di sini, namun saya ingin mengupas sedikit tentang tema yang boleh dikatakan menjadi “jiwa” yang menyelubungi jasad yang dipanggil Deklarasi Shah Alam ini.
Sesungguhnya tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah untuk memastikan kualiti hidup yang selesa dan sejahtera bagi rakyatnya. Ini bermaksud kehidupan yang tidak dibebani hutang yang melampau, serta pendapatan yang memadai untuk membina rumahtangga dengan segala kelengkapan asas seperti rumah, kereta dan pendidikan anak-anak. Dalam erti kata lain, kesejahteraan ekonomi rakyat hendaklah dipelihara.
Namun begitu, keadaan semasa di negara kita lebih indah khabar dari rupa. Walaupun diberitahu bahawa pertumbuhan ekonomi sedang giat berkembang melalui Modal Ekonomi Baru (NEM) dan program-program serpihannya seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA), tetapi hakikatnya Malaysia merupakan negara di mana purata pendapatan rakyat adalah terlalu rendah dan sudah lama terbantut.