Source:
Roketkini.com
Wawancara Roketkini bersama A. Samad Said
Bahagian Kedua (Terakhir)
7 February 2012
Seniman muda dilihat lebih terjurus kepada menerbitkan karya mereka sendiri. Bagaimana Pak Samad melihat fenomena ini?
Kelompok muda ini saya fikir, memang ramai berusaha menerbitkan bukunya sendiri, dan kadang-kadang menerbitkan secara agak terdesak oleh kerana tuntutan masa. Ambil misalan antologi Puisi Jadi Senjata (kumpulan puisi dedikasi kepada Bersih 2.0), itu boleh dikatakan secara mendadak tumbuh daripada (Editor Suara Keadilan) Fazallah Pit.
Dia yang mengumpulkan anak-anak menulis puisi dan dia datang kepada saya, dia kata, “Pak, ini sesuai dengan iklim sekarang ini yang sedang berlaku.” Makanya, dia hendak saya tulis prakata, dan saya tulis itu jam juga. Antologi puisi itu memang laku bila ada acara-acara kecil-kecilan di sana sini. Tetapi secara menyeluruh, ia belum lagi diterima. Tetapi permulaan itu sesuatu yang amat bagus.
Dari segi demografi sosio budaya dan sosio politknya dalam dunia demokrasi, tidak dapat dinafikan yang muzik, filem, penulisan sastera, lukisan yang bergerak secara mandiri juga banyak membantu.
Saya fikir, demokrasi mempunyai jalan-jalannya sendiri. Ada jalan besar, ada jalan kecil, ada harus melalui denai, ada melalui sungai. Semua itu, asalkan cita-citanya ialah untuk menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku yang tidak diterima lagi oleh orang dahulu dan harus dibantah dan itu saya fikir sebanyak-banyaknya ia harus bagus.
Ia boleh untuk menyeluruh, tidak harus sahaja penulis itu datangnya bila dia berkumpul di Kuala Lumpur. Dia boleh bermula di Johor baru, Perlis, di Pahang, di mana-mana. Semua bibit-bibit itu akan nantinya menunjukkan ke arah yang sama. bahawasanya keadaan sosial sekarang ini dan jentera siasah waktu ini dan cengkaman waktu ini yang tidak adil di waktu ini harus dibantah.
Sudah tentu sahaja bantahan itu secara kecil-kecilan tidak ternampak impaknya, tetapi akan tiba satu waktu di mana mereka ini akan bersatu berkumpul untuk menyatakan bantahan yang lebih berdasar.
Ruang-ruang yang telah dihasilkan oleh perubahan demokrasi. Kalau kita neutral dalam beberapa isu, kita digambar memihak kepada Pakatan Rakyat. Bersih, bukan memihak kepada Pakatan atau Barisan Nasional, tetapi bagaimana nak tonjolkan bahawa Bersih ini gerakan rakyat, bukan parti politik?
Kita tidak dapat menjernihkan pandangan sekelompok yang sudah berkuasa, UMNO, Barisan Nasional contohnya. Tentu sahaja apa yang sedang berlegar mengarah kepada menggigit kuasanya, dia akan memberikan penentangan, dia tidak menerima. Itu sebab kelompok-kelompok dalam dunia penulisan.
Sudah ada, anda tahu baru-baru ini kerajaan memberi RM5 juta kepada PENA (Persatuan Penulis Nasional) misalnya. Itu bererti sudah ada kesedaran bahawasanya persatuan penulis itu boleh menggegarkan. Tetapi oleh kerana kerajaan yang memberi duit kepada PENA, maka tentunya PENA merasakan terhutang budi, dan giginya tidak terjaga. Kadang-kadang sifat kita… Kerana orang memberi, kita menjadi tidak manis untuk menggigit tangan yang memberi.