Source: Roketkini.com
Oleh Iskandar Fareez
29 February 2012
Sebelum kapal
mewah Titanic karam, arkitek kapal tersebut pernah berkata bahawa
ianya sangat teguh sehinggakan Tuhan pun tidak dapat menenggelamkannya.
Demikanlah kata-kata terakhir yang tercatat dalam sejarah sebagai ungkapan yang
penuh ironi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan bahawa dari segi fakta saintifik,
projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan di Pahang itu selamat. Malah, lebih
daripada itu, beliau dengan berani mengatakan nadir bumi itu tidak berbahaya
kerana bagi mereka yang menggunakan telefon pintar, mereka terdedah kepada
nadir bumi setiap hari.
Sebenarnya, ini bukan kali
pertama Najib memberikan jaminan beliau terhadap sesuatu hal. Dalam tahun 2011
sahaja, pelbagai jaminan telah diberikan apabila orang ramai bangkit
menyuarakan bantahan kepada beberapa isu.
Jaminan-jaminan ini hanya seperti
mendodoi bayi tidur. Ia seolah-olah menjadi kata muktamad untuk mematikan
segala hujah rasional yang rakyat lontarkan seperti kita ini sudah kembali
semula ke zaman kerajaan mengetahui segala-galanya.
Sewaktu skandal penyalahgunaan
wang pinjaman ternak lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikendalikan oleh
NFCorp untuk membeli kondo mewah mula hangat diperkatakan dahulu, Najib dengan
berani tampil ke hadapan mempertahankan keluarga pengarah NFCorp yang mempunyai
hubungan rapat dengan seorang Menteri Kabinet dan menjamin tiada sebarang
penyelewengan yang telah berlaku.
Walau bagaimana pun, laporan
media baru-baru ini mendedahkan bahawa pihak polis sendiri telah mengesyorkan
supaya para pengarah NFCorp disiasat di bawah tuduhan pecah amanah, salah satu
bentuk penyelewengan.
Dalam temu ramah dengan media
antarabangsa CNN pula, Perdana Menteri pernah menjamin yang tiada kekasaran dan
keganasan dilakukan oleh pihak polis terhadap penunjuk perasaan yang menyertai
perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada tahun lalu.
Namun, umum mengetahui kepalsuan
jaminan itu. Kita dapati yang pihak polis bukan sahaja telah melakukan
provokasi melampau, malahan mereka telah mengasari penunjuk-penunjuk perasaan
yang terbabit.
Kedua-dua contoh ini sahaja sudah
memadai untuk menunjukkan bagaimana jaminan-jaminan Perdana Menteri ini tidak
ada kredibilitnya. Setiap kali beliau mengutarakan sesuatu pendapat atau
jaminan, sudah kita sedia maklum yang beliau bukannya bercakap dalam
kapasitinya sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi lebih sebagai
Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.
Reaksi beliau selama ini adalah
langkah terdesak untuk melindungi air muka beliau dan kepentingan politik
UMNO-BN. Sebab itu jugalah Najib sanggup merayu undi supaya rakyat memberi
majoriti dua pertiga kepada UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang jika
mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi lebih kuasa.
Layakkah Najib memberi jaminan
keselamatan nyawa manusia?
Jadi, wajarkah rakyat yang cerdik
mempercayai jaminan Najib berkaitan isu nadir bumi Lynas ini? Sedangkan dalam
isu yang lebih mudah difahami seperti NFC dan BERSIH pun beliau boleh
‘tersilap’ memberi jaminan.
Wajarkah dalam isu yang lebih
rumit seperti Lynas ini, kita berasa selamat dan yakin tiada sebarang
kemudaratan dan kecelakaan akan menimpa penduduk Gebeng dan Kuantan serta
seluruh Pahang kelak?
Najib tidak ada kelayakan sama
ada dari segi saintifik mahu pun kredibiliti untuk memberi keyakinan kepada
mana-mana pihak terhadap keselamatan projek itu. Jika disemak latar belakang
beliau, tidak dinyatakan yang beliau pernah dianugerahkan apa-apa ijazah dalam
bidang sains, biar pun daripada Universiti Curtin sekali pun.
Memang ada pakar sains yang
mengakui nadir bumi yang telah diproses menjadi cip mikro bagi telefon pintar
itu rata-ratanya tidak berbahaya. Namun begitu, yang menjadi kekhuatiran ramai
ialah sisa toksik daripada bahan mentah tersebut. Jika tidak dilupuskan dengan
betul, sisa-sisa radioaktif inilah yang sebenarnya akan membawa kemudaratan
kepada penduduk-penduduk sekitar terutamanya di Gebeng dan kawasan sekitar
Kuantan.
Kemalangan skala besar boleh
berlaku kerana masalah yang kecil sahaja. Loji Chernobyl di Ukraine (dahulu Soviet Union ) dahulu telah dikendalikan oleh pakar-pakar
nuklear yang terkemuka, namun itu tidak dapat mengelakkan daripada berlakunya
kemalangan ngeri yang memberi kesan kepada lebih 200,000 orang. Selepas
siasatan dijalankan, didapati kemalangan tersebut berpunca daripada sesuatu masalah
teknikal yang kecil.
Persoalannya, sanggupkah kita
melihat rakyat kita sendiri merana jika apa-apa terjadi kelak? Beberapa faktor
seperti bentuk daratan yang dipenuhi dengan sungai dan kepadatan penduduk yang
tinggi menjadikan Malaysia
calon yang amat tidak sesuai untuk projek pemprosesan nadir bumi. Jika sisa
radioaktif itu terserap dalam tanah dan sistem perairan kita, semestinya
aktiviti dan kesihatan kita turut terjejas.
Projek sebegini memerlukan
kawasan yang luas dan tidak berpenghuni. Dengan kata lain, kawasan dengan
kepadatan penduduk yang rendah. Dalam hal ini, kawasan gurun amatlah
bersesuaian untuk melaksanakan projek nadir bumi ini kerana sisa-sisa
radioaktif dapat dilupuskan tanpa membahayakan kesihatan orang ramai.
Sudah tentu Australia
dilihat sebagai lokasi yang ideal untuk membangunkan projek Lynas. Justeru,
cukup musykil apabila Australia
sendiri menolak tawaran Lynas dengan tidak membenarkanya beroperasi di negara
itu. Penolakan oleh Australia
itu sepatutnya sudah cukup untuk rakyat Malaysia bangkit menentang
Lynas daripada beroperasi di negara kita.
Jika berlaku sesuatu bencana yang
amat buruk dan ngeri, apakah yang dapat Najib jamin pada saat itu?
Janganlah
kita jadikan kata-kata jaminan Najib itu sebagai satu lagi kata-kata terakhir
yang penuh ironi apabila nyawa rakyat bakal terjejas akibat radiasi kelak. – Roketkini.com
没有评论:
发表评论