Source: Roketkini.com
GEORGETOWN, 27 OKT – Kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang telah berjaya mengurangkan hutang negeri yang diwarisi daripada Barisan Nasional kira-kira RM630 juta pada Mac 2008 kepada RM30 juta sahaja pada bulan lalu.
Ini adalah penurunan hutang yang paling cemerlang antara semua negeri lain dengan penurunan sebanyak RM600 juta atau 95 peratus, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Beliau berkata, ia juga kejayaan besar berbanding hutang Kerajaan Persekutuan yang naik sebanyak 71 peratus atau RM190 bilion dalam tempoh masa yang sama, iaitu daripada RM266 bilion pada akhir 2008 kepada RM456 bilion pada akhir tahun ini.
“Sungguh pun pada awalnya dijangka bajet Pulau Pinang akan mengalami defisit sebanyak RM107.78 juta, kami bangga kerana bajet tersebut akan menjadi surplus atau bajet lebihan.
“Ini bermakna dalam tempoh 4 tahun Pakatan Rakyat (PR) memerintah, kita tidak pernah mengalami bajet defisit, sebaliknya memperolehi bajet lebihan,” katanya di majlis rumah terbuka Deepavali anjuran kerajaan negeri di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan Pakatan juga bangga dengan kenaikan rizab aset sebanyak RM1.13 bilion pada akhir 2010.