Source: Roketkini.com
Oleh
Izmil Amri
19
April 2012
“Demo
tak penting nak,” kata sang ibu sambil hulur ais krim ke tangan anaknya. Mata si
anak liar melihat geromboloan manusia berpusu-pusu berkumpul di satu tempat dan
bersorak-sorak dengan begitu marah. “Yang penting kita cukup makan. Kita mesti
mensyukuri nikmat keamanan negara,” tambah si ibu.
Mata
si anak tambah membundar pada kumpulan yang tadi itu. Sekarang ini membina
khemah-khemah dan berkumpul padanya, mengangkat slogan-slogan penuh rasa tidak
puas hati. Pada wajah mereka itu ada rasa kecewa dan tertekan dengan kehidupan.
“Tapi
ibu, kenapa mereka itu berkumpul? Apa yang mereka mahu? Kenapa mereka marah?”
tanya si anak lagi.
Ibu
sekadar tersenyum. Jawapan sarkastiknya tadi tidak meredakan semangat ingin
tahu anaknya. Anak demonstran, mana mungkin pernah puas hati dengan jawapan
retorika. Si ibu bawa anaknya ke bangku batu, aiskrim dipegang erat; ibu mula
bercerita kenapa gerombolan anak muda itu berkumpul di penjuru Dataran Merdeka
itu.
Aset
tolak liabiliti
Bagaimana
kita mengira net worth atau nilai bersih sesebuah organisasi? Kita
jumlahkan asetnya, kemudian kita tolak liabilitinya. Kiraan serupa boleh
dilakukan untuk mengukur nilai kekayaan bersih seseorang individu. Kalau dalam
skala lebih besar, kita boleh melihat keadaan ekonomi negara dengan mengira
jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bandingkan jumlah keterhutangan
negara berbanding nilai KDNK. Keterhutangan ini adalah liabiliti. Malaysia sedang
menanggung keterhutangan nasional sebanyak 53% daripada KDNK. Lebih separuh.
Cuba buat
pengiraan yang sama terhadap diri anda dan tentukan nilai bersih anda.
Jumlahkan aset-aset anda seperti wang di bank, wang di dalam dompet,
harta-harta boleh jual, aksesori barang kemas semuanya. Kemudian jumlahkan pula
hutang-hutang anda dalam nilai negatif. Hutang kereta, hutang rumah, hutang
pinjaman peribadi, hutang cheti, hutang Ah Long Bukit Beruntung, hutang kad-kad
kredit dan tidak dilupakan, hutang PTPTN. Tolak nilai keterhutangan itu
daripada jumlah aset anda. Itulah nilai bersih anda sekarang.
Janganlah
monyok, senyumlah sikit. Saya faham anda tidak senang dengan nilai negatif itu.
Tapi apa boleh buat. Kita ini semua dibesarkan dengan kelaziman berhutang. Kita
yang malang ini
membesar kuat dan sihat untuk menanggung keterhutangan terus menerus supaya
kapitalisme membugar sehat.
Bankrap
Keterhutangan
bahkan membawa kepada insolvensi. Justeru adalah tidak ganjil bagi seorang
graduan berada pada sempadan bankrap sebaik sahaja menanggalkan jubah
graduannya. Seorang inidividu yang mengambil pinjaman PTPTN bagi pengajian
diploma dan menyambung satu lagi pinjaman di peringkat ijazah, paling kurang
menanggung hutang berjumlah RM32,000 pada akhir usia pengajiannya. Lebih dari
cukup untuk menepati syarat bagi diisytihar bankrap.
Itu
belum ditambah hutang-hutang seterusnya yang menjadi kelaziman anak muda baru
meningkat usia melangkah alam dewasa. Beli kereta baru, hutang. Beli komputer,
telefon baru, guna kad kredit. Keluar jalan-jalan dengan kekasih hati, pun guna
kad kredit. Cukup haul untuk berumahtangga, ambil pinjaman peribadi untuk
langsung kenduri kahwin. Tukar kereta besar sikit, sebab dah gatal nak beranak
pula. Beli rumah baru harga ratus ribu, pun ambil pinjaman bank. Gaji sebulan
lebih kurang atau hampir-hampir dengan RM3000. Macam mana hidup?
Di
Dataran Merdeka kelihatan gerombolan anak muda mahasiswa yang tidak sedikitpun
luntur semangat mereka, meski hujan turun lebat. Dengan kehadiran pasukan
keselamatan daripada Cawangan Khas dan DBKL, mereka pastilah rasa selamat dan
berterima kasih. Tidak mungkin berlaku kecurian atau keganasan berkat kawal
selia pihak keselamatan itu.
Rata-rata
bertanyakan soal wang belanja harian dan sara hidup yang entah bagaimana turut
disertai kos membeli iPad dan alatan teknologi terkini demi kemandirian anak
mahasiswa.
Pendidikan
percuma
Pada
dasarnya prinsip yang diketengahkan berkaitan pendidikan percuma adalah mudah,
kerana negara sebenarnya mampu menawarkan pendidikan percuma dari peringkat
sekolah rendah sehinggalah ke peringkat ijazah pertama, cuma soal mahu atau
tidak, selain soalan-soalan sentimental tentang mitos Melayu malas tidak tahu
menghargai pemberian percuma. Pokoknya, negara sebenarnya kaya dan mampu, cuma
yang menjadikannya rumit ialah apabila kekayaan itu tidak diagihkan secara
adil, sama rata dan mengikut keutamaan.
Masalah
pembiayaan pendidikan tambah meruncing sejak terbitnya dasar kerajaan untuk
mengkorporatkan institusi pengajian tinggi khususnya universiti awam tempatan.
Lantas mahasiswa tidak punya banyak pilihan selain mengambil dan seterusnya
menanggung pinjaman PTPTN selain pinjaman-pinjaman lain demi kehidupan yang
lebih menepati piawaian sosial.
Sebab
yang sama juga mengakibatkan kebanjiran tenaga dan modal insan ke luar negara
memandangkan tawaran kerja dengan gaji yang jauh lebih lumayan, demi untuk
membayar kembali keterhutangan itu. Nyata soal besarnya ialah kos sara hidup dan
masalah gaji rendah yang tidak pernah cukup untuk menampung segala
hutang-hutang yang ada. Hatta untuk beli makan pun perlu korek cari duit
syiling di celah sofa.
Pokok
pangkal kesusahan dan kelaparan membuahkan kemarahan. Ya, tanpa duit memang
susah untuk rasa tenang dan bahagia. Maka tidak hairan kenapa ramai orang marah
dan tidak puas hati.
Anak kecil terus perhati grup anak muda yang duduk dalam bulatan dan
menyanyikan lagu-lagu perjuangan.
Dalam
hati kecilnya dia sedikit berterima kasih kepada pengorbanan gila mereka ini
untuk duduk bersila di tengah hujan dan panas. Mana tahu perjuangan mereka ini
berjaya, anak kecil nanti tidak lagi perlu kumpul duit syiling untuk biaya
pendidikan sampai bila-bila.
Perlahan-lahan
dia berjalan menuju grup itu sambil dipimpin ibunya.
“Demonstrasi
itu penting kan
ibu?” tanya si anak kecil lagi.
Si
ibu terus senyum. Anak kecil sudah pandai bertanya. – Roketkini.com

没有评论:
发表评论