Source: Roketkini.com
Oleh
Zairil Khir Johari
13 March
2012
Saya
bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan perasaan kesal atas
laporan akhbar Utusan Malaysia pada 6 Mac 2012 yang bertajuk “Kesal DAP tidak
salur maklumat kepada rakyat”.
Dalam
artikel tersebut, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau
Pinang (CAP) yang kedua-duanya diterajui oleh SM Mohamed Idris telah dilaporkan
berasa kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak menyediakan
maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan
di negeri ini.
SM
Mohamed Idris dipetik berkata, “Baru-baru ini laporan akhbar menyatakan
kerajaan negeri akan membuka permohonan cadangan membina terowong dasar laut
sepanjang 6.5 kilometer dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan sepanjang
12 kilometer yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang serta
beberapa projek lagi.”
SM
Mohamed menambah isu ketelusan dan keterbukaan berhubung cadangan projek adalah
keutamaan yang paling penting dalam peringkat awal perancangan dan membuat
keputusan.
Katanya
lagi, “Rakyat perlu diberikan maklumat lengkap dari awal mengenai potensi,
manfaat dan kesan projek dan butiran pertukaran tanah supaya mereka boleh
membuat keputusan bermaklumat mengenai keperluan projek mega tersebut.”
Kami
tidak mempertikaikan hakikat bahawa isu ketelusan dan keterbukaan merupakan
keutamaan yang paling penting, malah sebagai kerajaan yang berdasarkan prinsip
CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), kami telah mengambil pelbagai langkah untuk
memaklumkan pihak umum mengenai projek-projek infrastruktur yang dicadangkan.
Pada
28 April 2011, satu sidang akhbar telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri di
Putrajaya mengenai penandatanganan Memorandum of Understanding (MOU) di antara
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sebuah syarikat milikan kerajaan negara China.
MOU
itu telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib
Tun Razak serta Perdana Menteri China Wen Jia Bao.
MOU
tersebut telah menyatakan minat syarikat kerajaan negara China ke atas
empat projek infrastruktur Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk
mengurangkan kesesakan lalulintas, iaitu terowong 6.5km dari Butterworth ke Gurney Drive .
Jalan
pintas 4.2km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang akan
mengelakkan pusat bandar, jalan 4.6km yang akan menghubungkan Bandar Baru Air
Itam kepada Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan berpasangan 12km dari
Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.
Semua
projek ini akan dijalankan secara tender terbuka. Kos
dianggarkan di antara RM5-8 bilion untuk keempat-empat projek ini tetapi
dijangka lebih rendah kerana ia dijalankan dengan tender terbuka.
Ini
telah diikuti oleh sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 29
April 2011 untuk meminta pandangan rakyat ke atas empat projek infrastruktur
tersebut.
Ini
telah disusuli oleh beberapa lagi sidang akhbar dari semasa ke semasa. Dalam
sidang DUN pada 10 Mei 2011, Ketua Menteri telah sekali lagi menjawab
soalan-soalan mengenai projek-projek infrastruktur tersebut.
Semua
pihak diberi peluang kemuka pandangan
Kerajaan
Negeri dan juga MPPP telah menerima beberapa pandangan dan cadangan sejak 29
April 2011. Tambahan pula, Ketua Menteri juga telah mengadakan sesi perjumpaan
dan perbincangan bersama wakil-wakil NGO dan pihak umum termasuk dengan Penang
Forum pada 16 Oktober 2011 dan juga pada 19 November 2011.
Dalam
kedua-dua forum tersebut, Mohamed Idris telah dijemput tetapi beliau tidak
dapat hadir dan telah menghantarkan wakil CAP.
Oleh
itu, adalah mengejutkan bagaimana CAP boleh menyatakan bahawa tidak ada
rundingan dengan NGO atau rakyat apabila begitu banyak ruang diberikan untuk
membincangkan isu-isu berkaitan dengan projek-projek infrastruktur tersebut.
Mengikut
senarai kehadiran, kami boleh mengesahkan bahawa wakil CAP iaitu
Rudhrapathy Vijayala (Ravi ) telah menghadiri
kedua-dua sesi tersebut.
Selaras
dengan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah
pun menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada pihak umum,
termasuk dalam sesi perbincangan yang dihadiri wakil CAP.
Justeru,
kenyataan Presiden CAP yang mempersoalkan dasar keterbukaan dan ketelusan
Kerajaan Negeri adalah tidak tepat dan amat dikesali.
Kami
juga ingin mengingatkan bahawa proses tender terbuka yang dilangsungkan melalui
RFP (Request For Proposal) juga akan melalui kajian kebolehlaksanaan serta
penilaian kesan kepada alam sekitar.
Kedua-dua
proses ini akan melibatkan penyertaan pihak umum dan akan menentukan keperluan
projek-projek tersebut serta mengenal pasti alternatif-alternatif lain.
Adalah
jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengamalkan dasar yang terbuka
dan telus, bukan sahaja dengan penyampaian maklumat kepada pihak umum tetapi
juga melalui dua sesi rundingan dan perbincangan dengan wakil-wakil NGO dan
pihak umum yang dihadiri oleh Ketua Menteri sendiri. – Roketkini.com
没有评论:
发表评论