18 April 2013
KUALA LUMPUR, 18 APR
Berikutan tindakan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif
Pusat (CEC) DAP, rakan-rakan Pakatan Rakyat bingkas bangun menawarkan
calon-calon DAP bertanding dengan menggunakan logo PAS dan KEADILAN.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, mungkin DAP
menggunakan logo PAS dan PKR dalam PRU kali ini jika ROS yang dipergunakan oleh
Barisan Nasional masih tetap mahu menyekat DAP daripada bertanding.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini
yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha
Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Tindakan ROS tidak mengiktiraf CEC DAP mengakibatkan wujud
kerisauan bahawa logo DAP tidak boleh digunakan oleh calon-calon DAP kerana
surat kuasa parti yang harus dikepilkan bersama borang pencalonan mestilah
ditandatangani ketua parti yang diiktiraf, seperti yang termaktub dalam
peraturan pilihanraya.
“Pada saya, saya tidak nafikan bahawa tindakan ini adalah
bermotifkan politik semata-mata,” kata Mustafa mengulas tindakan ROS. “Jika
mereka (calon-calon DAP) bertanding tanpa logo yang diiktiraf, mereka akan jadi
calon bebas. Tapi kami rakan dalam pakatan ini dan kami akan tetap
bantu-membantu sama lain,” tambah beliau.
Mustafa menegaskan bahawa PAS cukup bersedia untuk membantu
rakannya ketika DAP berhadapan dengan ujian sebegini di saat-saat PRU akan
bermula.
“Saya telah menghubungi Mursyidul Am (Tok Guru Datuk Nik
Aziz Nik Mat) dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Abdul Hadi Awang dan mereka
berkata kita tak ada masalah, kita akan tolong DAP,” ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin pula berkata, tindakan ROS
meletakkan DAP dalam situasi yang sukar dalam tempoh 48 jam sebelum penamaan
calon adalah satu perbuatan yang sangat zalim dan kejam.
“DAP adalah sekutu penting dalam Pakatan Rakyat, mempunyai
pengaruh yang kuat dan merupakan rakan utama.
“Kami juga telah membuat ketetapan sebagai menunjukkan
semangat kekitaan dan esprit de corps Pakatan Rakyat. Kami bersetuju untuk
bila-bila masa sahaja mengeluarkan watikah untuk calon-calon DAP,” kata beliau.
Semangat setiakawan Pakatan Rakyat membuktikan bahawa
semakin BN menggila untuk menghancurkan perpaduan rakyat Malaysia pelbagai
kaum, semakin kukuh ikatan persaudaraan di kalangan warga Malaysia.
Ini adalah kerana semakin ramai rakyat sedar tentang
kezaliman dan kekejaman UMNO dan BN menggunakan isu-isu perkauman dan keagamaan
yang sempit semata-mata kerana mahu mengekalkan kuasa mereka yang semakin
rapuh. – Roketkini.com
Source: http://roketkini.com/2013/04/18/nilai-persahabatan-pas-keadilan-sedia-benarkan-dap-guna-logo/


没有评论:
发表评论