Source: Roketkini.com
Oleh
Izmil Amri
3
April 2012
Kebetulan
semalam aku kelaparan dan punya sedikit wang di tangan. Tidak mahu makan malam sendirian,
aku tanyalah dua tiga orang teman yang barangkali punya kelapangan untuk diajak
makan bersama. Kebetulan semuanya punya urusan masing-masing. Senggugut lah,
anak demam lah, bini tengah ovulasi lah; macam-macam.
Kebetulan
aku menghala ke arah Bangsar. Tahu sahaja lah, di situ ada tempat-tempat makan
yang agak menarik. Barangkali mampu membantu menjawab persoalan harian paling
besar di negara dunia pertama hari ini, “Nak makan kat mana?”
Selain
mempunyai tempat makan yang menarik, Bangsar juga punya mempunyai masalah
tempat letak kereta. Itu satu benda yang aku kurang gemar. Kebetulan pula
sewaktu sedang memilih tempat untuk beli makanan, ada tapak parkir betul-betul
depan sebuah kedai sandwich.
Wanita
bertudung
Kebetulan
juga, sedang duduk di meja dekat luar kedai itu seorang wanita pertengahan usia
sedang bercakap telefon. Tudung kelabunya tidak mengikut trend wanita masa kini
yang lebih senang memakai tudung pemalas yang main serkup dan susun dari negara
seberang.
Tetapi
memandangkan aku ini lelaki dan bukanlah seorang fashion police maka
bukan itu yang menarik perhatian aku kepada wanita ini. Di antara jari tangan
kirinya ada sepuntung rokok yang masih bernyala. Antara percakapannya di
telefon, rokok disentuhkan ke bibir, disedut dan asapnya dihembus
berkepul-kepul keluar.
Ini
bukan pemandangan lazim bagi aku, seorang Melayu yang walau pun tidak sangat
konservatif tetapi masih kuat berpegang kepada nilai-nilai yang disepakati umum
sebagai nilai-nilai yang mahmudah (terpuji).
Ya lah…Berapa kali setahun kau
dapat lihat seorang wanita bertudung senang lenang menghisap rokok di ruang
awam?
Aku
sekadar menjeling dengan penuh intrig dan berlalu masuk ke dalam kedai. Pesan
makanan dan duduk melantak sandwich sepanjang satu kaki berisi salad dan
daging. Lapar betul aku. Aku memang pun sentiasa lapar, tapi itu cerita lain.
Mata aku masih memandang kepada wanita di luar itu yang sudah menyalakan
sebatang lagi rokok sambil diperhatikan sekumpulan anak muda di meja sebelah.
Grup
anak muda ini rupanya teman kepada pekerja kedai yang asyik pula keluar masuk
membawa kunci motor. Sambil berlalu aku terdengarlah percakapan mereka tentang
wanita di luar sana.
Aku tidak sangat memberi perhatian walau aku dengar dua tiga patah. Biasalah,
Melayu, mesti mau jaga tepi kain orang lain. Fitrah. Namun aku tetap tak ambil
cakna sangat. Sandwich depan mata aku jauh
lebih menarik perhatian.
Selesai
melantak, aku beransur keluar dan sambil menapak, aku keluarkan telefon bimbit
dan ambil gambar wanita itu dari belakang, rokok masih di tangan. Tudung juga
masih di kepala, jangan lupa. Ada
‘brader’ dari meja sebelah senyum melihat perbuatan aku itu.
Pastilah
itu bukan ibunya, kalau tidak sudah semestinya aku kena penumbuk tepat ke dada.
Sambil duduk di dalam kereta, tangan aku gatal mahu upload ke Facebook. Biar
berkongsi rasa. Aku tuliskan sebagai keterangan gambar, “Tengok la tu. Makcik
bertudung, rokok di tangan. Manis sangat lah perangai.”
Silap
besar?
Kebetulan
kawan-kawan aku di Facebook ini terdidik untuk bertingkah dan mengemukakan
pendapat. Sehingga jam 2:30 pagi (sewaktu tulisan ini sedang ditaip) masih ada
komen yang masuk kepada gambar yang aku muat naik itu. Ada yang bersetuju dengan pendapat aku. Namun
yang mengutuk perbuatan aku jauh lebih ramai.
Komen
terakhir yang diterima menjelaskan dengan amat baik kenapa sebenarnya orang
tidak berkenan dengan perbuatan aku ini. Rakan sekerja ku menyebut, “kena faham
kenapa orang tak suka, anda menggambarkan bahawa anda ‘holier than thou‘
dan orang tak suka apabila terdapat seseorang di atas‘moral high horse‘nya
menghakimi orang lain berdasarkan ideals beliau. tambahan pula subjek tersebut
merupakan seorang wanita. sememangnya apabila kita meletakkan standard of
accepted behavior ke atas wanita, secara otomatis itu pun sudah sexist,
tak kisah apa pun niat kita.”
Aku
setuju dengannya. Pendapatnya betul. Tetapi ada pula yang menyebut, “Dah kalau
perkara itu nampak tak enak pada mata kita, takkan kita tak boleh nak
ekspresikan pendapat sendiri? Lagi pun apa yang disuarakan bukannya berbentuk
perintah atau pun arahan. Perempuan yang merokok itu masih boleh mengekalkan
tudungnya ketika merokok. Itu kebebasan dia, menyuarakan ketidak senangan hati,
itu kebebasan sendiri.”
Isunya
apa?
Jadi
persoalan besar di sini apa sebenarnya? Tidak, aku tidak mempertanyakan ‘hak
wanita bertudung untuk merokok di khalayak umum’. Seperti jawapan separa
konservatif aku kepada seorang teman yang memberi komen; seks oral juga bukan
satu kesalahan, tetapi bukalah tudung tu dulu. Maka bukanlah hak dan kebebasan
beliau yang menjadi masalah.
Adakah
pula aku cuba
memaksakan iman dan nilai-nilai ‘mahmudah’ yang disepakati umum ke atas beliau?
Itu juga tidak. Ini juga aku sebut dalam menjawab pandangan kawan-kawan
Facebook. Makcik masih bebas hisap rokok dengan tudung di kepala. Tidak aku
tepis rokok dari jarinya dan tidak pula aku rentap tudung dari kepalanya.
Tidak. Aku bukan moralis seperti yang didakwa. Aku juga bukan malaikat.
Adakah
aku ini seksis pula kerana cuba
mencadangkan apa yang patut dan tidak patut dilakukan oleh seorang wanita
bertudung? Ini juga aku rasa tidak. Aku tidak menegur makcik tersebut dan
menyuruhnya supaya mengikut piawai sosial. Dia boleh membuat tarian tiang di
depan kedai itu sambil tudung masih di kepala; suka hati dia, aku tidak punya
hak untuk marah.
Tetapi
adakah aku pula tidak punya hak untuk rasa tersinggung?
Moraliti
Moraliti
adalah soal besar yang tidak mudah untuk dikanunkan atau dipaksakan ke atas
umum. Moraliti bukan undang-undang. Soal moraliti ini adalah soal dasar
keberadaban manusia. Apa yang diterima umum sesuatu kawasan sebagai tidak
bermoral, tidak semestinya jadi perkara tidak bermoral di tempat yang lain.
Bercemolot
(cium mulut) di tempat umum sebagai contoh. Aci kerat jari kalau kau ketemu
kejadian ini di atas tangga KLCC menuju air pancut, kau akan terus kata,
“Ewww…Get a room please.” Tetapi di Barat, ini normal.
Ini ‘common-sense’ di sana. ‘Common-sense’ ini
bukanlah setakat ditakrif sebagai ‘masuk akal’ tetapi juga ‘kesepakatan umum’.
Jika umum sepakat bahawa aktiviti bersidai di tengah laman waktu tengah hari
tanpa memakai pakaian itu adalah suatu norma, maka ia akan dengan sendirinya
hilang dari senarai perkara tidak bermoral.
Tetapi
situasi ‘wanita bertudung isap rokok’ ini tidaklah sampai maqamnya begitu.
Namun kita tidak harus menolak bahawa adalah janggal bagi seorang wanita
bertudung untuk merokok di khalayak kerana ia bukanlah suatu norma. Bukan
kelaziman bagi sekumpulan awek bertudung litup untuk duduk lepak dan meletakkan
kotak rokok di sebelah Blackberry di atas meja di kedai mamak. Barangkali belum
menjadi kelaziman dan proses untuk aktiviti itu menjadi norma sedang berjalan.
Kenapa
selektif?
Kita
pusing kembali waktu ke hari Sabtu lalu apabila aku memuat naik sekeping gambar
seorang anak kecil yang aku kira belum pun lima tahun usia ke Facebook. Anak kecil yang
pakai baju warna-warni ini duduk di atas kerusi plastik, kakinya juga tidak
cecah lantai. Di tangannya ada alat kawalan permainan video yang sedang
berlangsung di kaca televisyen.
Kelihatan
di skrin, ada zombi-zombi yang sedang meletup kepalanya, ditembak dengan rakus
oleh anak kecil ini tadi. Anak ini, wajahnya selamba sewaktu gambarnya aku
rakam sambil jari-jari halusnya tetap menekan punat-punat yang mengakibatkan
senapangnya menembak kepala-kepala zombi sampai berkecai.
Semuanya headshot belaka.
Ini
juga tidak normal rasanya. Tidak pula gambar ini menerima komen berjela meski
keadaan ini merunsingkan. Tetapi barangkali aku ketinggalan zaman. Barangkali
memang budayanya sekarang, anak kecil mesti belajar dan dilatih untuk berdepan
situasi apokaliptik yang dipenuhi zombi yang laparkan otak manusia. Situasi ini
dahulu di zaman aku kecil-kecil tidak kelihatan. Kami dahulu main Mario dan
Sonic. Tidak ada tembak-tembak zombi.
Nilai
sosial masa kini semakin jauh melencong dari apa yang kita anuti sepuluh ke lima belas tahun lalu.
Anak kecil sudah pandai tembak zombi, wanita bertudung sudah tidak segan silu
merokok di sana sini, anak sekolah lima belas tahun usia
sudah bangga dirinya tidak lagi punya dara.
Halal
atas nama kebebasan?
Tetapi
tak apa. Ini semua halalan-thoyyiba atas nama kebebasan dan hak sama rata.
Hasil didikan kapitalisme yang menyongsong individualisme, akhirnya manusia
hidup nafsi-nafsi. Jiran pun sudah tidak kenal sama sendiri. Apatah lagi mahu bertegur
jika ada yang tidak kena. Hatta definisi ‘tidak kena’ itu pun sudah tidak tahu
apa dia. Ini kerunsingan yang tidak harus ditolak tepi.
Jadi
berbalik kepada persoalan pokok; apa sudah jadi dengan kita? Haruskah reformasi
dan perubahan menjadikan kita makhluk dan tamaddun yang sama sekali berbeza?
Mestikah globalisasi dan moderniti memaksa kita untuk meminggirkan adab sopan
dan budaya?
Adakah
dengan nama kebebasan dan kesaksamaan maka halal dikorbankan nilai-nilai yang
terpuji? Wajarkah kebiasaan sosial dirombak atas nama kemajuan? Mestikah hak
berpendapat dan menjaga budaya disisihkan demi memberi laluan kepada makhluk
yang namanya individualisme? Apakah dia sebenarnya yang benar dan betul?
Kebetulan,
ini semua soalan-soalan yang harus kita jawab sambil melihat ke cermin muka.
Aku mungkin salah. Kau juga tak semestinya betul. Dan aku belum pula pula
bercerita tentang moraliti menghisap rokok itu sendiri atau pun etika menggelar
orang lain sebagai ‘makcik’. Siapa yang menentukan norma? – Roketkini.com
没有评论:
发表评论