Source: Roketkini.com
Oleh
Izmil Amri
14
March 2012
Sekali
air bah, sekali pantai berubah. Hakikat ini saya akui setiap kali kampung
halaman saya dinaiki air. Akan ada lah perubahan-perubahan yang terjadi pada
lanskap dan halaman rumah. Ada
kalanya air bah akan membawa sampah sarap dari Sungai Pinang. Pada waktu yang
lain, air bah akan memaksa rumah diubah-suai supaya lantainya lebih tinggi,
atau paritnya digali lebih dalam.
Perubahan,
adatnya tidak boleh ditahan-tahan. Mantan Menteri Besar Kedah yang comel, Tan
Sri Sanusi Junid, pernah menyebut dalam satu ucapannya di Universiti Islam
Antarabangsa bahawa ‘Selain Tuhan, yang abadi adalah perubahan.’ Ini benar.
Perubahan adalah malar. Ia datang bagai ombak dan tidak boleh dihalang-halang.
8
Mac lalu cukuplah kiraan empat tahun terjadinya tsunami politik besar dalam
sejarah Malaysia .
Tsunami tersebut berjaya menjadi pemangkin perubahan apabila lima negeri berjaya ditawan oleh parti-parti
pembangkang pada waktu itu yang kini membentuk sebuah koalisi mapan bergelar
Pakatan Rakyat.
Koalisi
mapan ini sering disebut oleh ramai politisi United Malays National Organisation
(selepas ini disebut UMNO) sebagai ‘kahwin paksa’ antara DAP, PAS dan PKR.
Biarlah apa pun momokan UMNO, ternyata koalisi ini telah berjaya hidup bersama
untuk tahun keempat demi menjaga kepentingan rakyat dan dengan jayanya mendesak
perubahan-perubahan yang tidak mungkin terjadi jika tidak didesak oleh Pakatan
Rakyat.
Pulau
Pinang, seawal jam 6.30 petang 8 Mac 2008 telah diketahui tidak lagi berada di
bawah pemerintahan Barisan Nasional. Maklumat ini disimpan begitu ketat dan
tidak disiar di laman-laman web media arus perdana. Malah ada khabar-khabar
angin yang menyatakan berbulan lebih awal, sudah ada arahan untuk
komputer-komputer pejabat kerajaan negeri ditukar dan data-datanya dipadamkan
dek kerana sudah dibaca kejatuhan kerajaan pimpinan Koh Tsu Koon itu.
Sejak
peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, dengan saudara Lim Guan Eng sebagai
Ketua Menteri, bukan sedikit perubahan yang berlaku kepada Pulau Pinang.
Teman-teman
persekolahan yang sudah lama tidak balik kampung selalunya mempunyai komen
serupa apabila ditanya tentang perubahan paling ketara di Pulau Pinang . Hampir kesemuanya bersetuju bahawa Pulau Pinang
nampak lebih bersih. Sungguh pun bukanlah sampai ke tahap boleh makan nasi dari
lantai.
Barangkali
kerana kedua-dua Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Seberang
Perai adalah wanita yang tegas maka usaha membersihkan Pulau Pinang bergerak
pada momentum yang sangat baik.
Ditambah dengan kempen Penang Hijau Bersih yang
dibentuk demikian rupa demi menjaga kelestarian alam sekitar dan kebersihan
serta ‘meningkatkan kualiti hidup penduduk’. Demikian kata laman web Penang
Hijau Bersih.
Sebagai
orang yang jarang pulang ke Pulau Pinang, saya selalu terlupa tentang polisi
beg plastiknya. Setiap kali beli barang, saya akan minta beg plastik. Peniaga
akan pantas menjawab, “Aiyaa.. Ini Penang maa… Mana ada plastik beg.” Bukan
pada hujung minggu sahaja bahkan setiap hari begitu.
Bersih
dan hijaunya Pulau Pinang, bukan hanya pada persekitarannya sahaja, tetapi
turut bersih pada urus tadbirnya.
Sejurus
mengambil alih pentadbiran, Lim Guan Eng dan kawan-kawan memperkenalkan prinsip
urus tadbir CAT – Cekap Akauntabel dan Telus yang dimanifestasikan dalam gerak
kerja Kerajaan Negeri. Paling jelas dapat dilihat dalam perlaksanaan tender
terbukanya yang seakan menampar laju para pembangkang (UMNO-BN) di Pulau Pinang .
Saya
masih ingat perbualan dengan seorang ahli majlis MPPP yang memberitahu saya
tentang adat dulu kala apabila komisyen 10% harus ‘disumbangkan’ kepada
UMNO Bahagian setelah mendapat projek secara rundingan terus. Sekarang adat itu
sudah tidak lagi terpakai. Bahkan kontraktor-kontraktor kecil lebih punya ruang
dan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka, tanpa perlu mengenali mana-mana
Ketua UMNO Cawangan atau Bahagian.
Prinsip
CAT ini juga diulang sebut oleh Guan Eng yang telah bikin panas sekalian
pembangkang negeri Pulau Pinang. Setiausaha Agung DAP itu sering mengungkap
keinginan untuk mencontohi kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Bukan itu
sahaja, Institut Integriti Pulau Pinang turut mengangkat khalifah itu sebagai
model dalam persidangan integriti antarabangsanya.
Demikian
menghijau Pulau Pinang dengan unsur-unsur
Islaminya yang dituturkan dari lidah seorang Ketua Menteri keturunan Tionghua.
Itu belum kira peruntukan perbelanjaan negeri untuk agama Islam yang meningkat
saban tahun. “Guan Eng anti Islam. Sebab tu peruntukan untuk agama Islam sampai
mencecah RM 64 juta!” gurau Mat Sabu dalam ceramahnya.
Nah!
Perubahan begini mahu dilihat kalau tiada desakan rakyat yang mengubah
kerajaan? Mimpi sajalah.
Sihat
Orang
Pulau Pinang memang sihat-sihat belaka. Mungkin kerana demikian banyak pilihan
gerai dan restoran yang menyajikan makanan maka orang Pulau Pinang sentiasa
kenyang dan cukup makan.
Namun
yang lebih penting ialah soal kesihatan penduduk Pulau Pinang. Dengan
persekitaran yang lebih bersih dan program yang lebih mapan, seperti
menggalakkan penggunaan basikal dan mengadakan hari-hari bebas kenderaan di
kawasan-kawasan terpilih, pencemaran di Pulau Pinang dapat dikawal lantas
menyumbang kepada kelangsungan hidup masyarakat yang lebih baik.
Kalau
statistik kesihatan negeri mahu diambil kira, adalah jelas bahawa secara
puratanya bilangan penyakit bawaan vektor serta bawaan makanan jatuh merudum
sejak 2008. Barangkali takdir telah menentukan bahawa orang Pulau Pinang akan
kurang sakitnya. Tetapi mungkin juga pengurusan alam sekitar dan kesihatan
pasca tsunami 2008 ada sedikit menyumbang kepada meningkatknya kadar kesihatan
penduduk.
Apa
yang lebih sihat dari itu pastilah kewangan kerajaan negeri dan sumbangannya
kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Agak
heboh diperkatakan bahawa Guan Eng telah berjaya mengurangkan hutang Kerajaan
Negeri sebanyak 95%. Ya, bukan itu sahaja. Malah ia berjaya beroleh lebihan dari
penjimatan-penjimatannya yang akhirnya disalurkan kembali kepada rakyat melalui
skim-skim bantuan dan pemberian-pemberian kepada mereka yang memerlukan. Belum
pernah dalam sejarah Malaysia
ini berlaku sebelum terjadinya tsunami politik 2008. Antara yang popular
pastilah pemberian wang tahunan untuk warga emas dan sumbangan anak emas berupa
wang tunai RM200 bagi bayi yang dilahirkan kepada pengundi berdaftar di Pulau Pinang .
Dari
sudut pelaburan asing pula, Pulau Pinang duduk di tangga tertinggi dengan angka
RM 2.3 bilion tahun lepas. Demikianlah sihatnya kewangan negeri dan potensi
ekonominya sehingga berjaya menjadi pintu masuk pelaburan yang amat besar bagi
negara secara keseluruhan. Adalah amat nyata bahawa pelaburan asing hanya akan
mencurah masuk apabila lokaliti pelaburan itu ditadbir dengan baik tanpa
korupsi.
Selamat
Maka
selamatlah Pulau Pinang daripada kerakusan UMNO-BN yang sekian lama telah
merompak rakyat dengan salah guna kuasa dan korupsi yang tidak mengenal batas.
Selamatlah kewangan negeri daripada tangan-tangan cela pemimpin yang hanya
menjaga tembolok sendiri dan menjaga kepentingan adik-beradik.
Hanya
semalam Perdana Menteri mendedahkan di Parlimen bahawa 59% isi rumah seluruh
negara layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Apakah yang telah
dikerjakan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun menerajui negara sehinggakan
lebih separuh rakyatnya berpendapatan rendah?
Perdana
Menteri Najib Razak juga menambah bahawa yang paling ramai mendapat manfaat
tersebut adalah rakyat Kelantan dan Selangor. Kelantan barangkali kerana wang
royalti minyaknya tidak pernah diberikan. Tetapi mungkinkah dalam jangkamasa
empat tahun Pakatan Rakyat mengambil alih, habis penduduk Selangor jatuh
miskin? Pastilah tidak.
Kerajaan
Barisan Nasional sebelum 2008 lah yang harus dipersalahkan. Masakan negeri yang
begitu kaya tidak dapat menjaga kebajikan rakyatnya selama puluhan tahun BN
berkuasa. Sedangkan bekas Menteri Besarnya mampu beli mahligai berjuta. Maka
Pulau Pinang selamat daripada genggaman korupsi UMNO-BN.
Kadar
jenayah juga kelihatan jatuh mendadak di Pulau Pinang, dengan bilangan 3,280
kes pada tahun 2007 berbanding 967 kes pada tahun 2010. Ini tidak lain
menunjukkan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja
selamat, bahkan berada pada kedudukan sosio-ekonomi yang stabil. Jenayah
meningkat apabila ekonomi tidak berada pada tahap yang memuaskan, lantas
memaksa pihak-pihak tertentu untuk melakukan jenayah.
Justeru
adalah jelas bahawa dengan perubahan bawaan tsunami politik 2008 serta urus
tadbir yang jauh lebih baik oleh Pakatan Rakyat, Pulau Pinang akan terus
melangkah maju ke hadapan. Bertepatan dengan slogannya sejak pemerintahan
Barisan Nasional: Pulau Pinang Sentiasa Di Hadapan.
Maka
pulanglah sekalian anak-anak Pulau Pinang ke kampung halaman. Marilah kita membina
semula pulau mutiara bersama tanah besar untuk merdeka daripada kebobrokan
UMNO-BN.
Negeri-negeri
lain tidak perlu iri hati dengan Pulau Pinang. Bukan sahaja patut diteladani,
malah jadikan negeri masing-masing lebih baik dari Pulau Pinang. Tidak ada ruginya
jika negeri menjadi bersih, hijau, sihat dan selamat. – Roketkini.com
Source: http://roketkini.com/2012/03/14/pulau-pinang-bersih-hijau-sihat-dan-selamat-oleh-izmil-amri/
没有评论:
发表评论