Source: Roketkini.com
Oleh
Muhammad Nazreen
23
March 2012
Kalian
pasti pernah menyaksikan cerita adiwira terkenal Jepun dalam siri Ultraman Saya
kira sesiapa sahaja yang pernah hidup dengan Ultraman pasti berbangga dengan
aksinya ketika bertempur dengan raksasa jahat yang berniat jahat untuk menjajah
bumi.
Tapi
pelik, selalunya Ultraman akan muncul dahulu entah dari mana, menjelmakan
bentuknya, menggunakan kuasa ajaib untuk mempertahankan bumi. Entahlah, kata
orang-orang tua, Ultraman ini saja direka untuk anak-anak jadi lalai, malas
mengaji dan khayal dengan dunia fantasi yang jauh fikrahnya dari realiti.
Salah!
Jangan sesekali membunuh fantasi anak-anak. Fantasi inilah realiti yang
dipinjamkan kepada dunia khayalan. Realiti sebenarnya pasti ada.
Jangan
terkejut kalau-kalau konspirasi Ultraman ini mampu membungkam propaganda
pembodohan pemerintah. Lagi asyik kita larut dengan fantasi Ultraman, lagilah
dekat kita dengan wayang-wayang diktator memancing undi.
Benar
kata pengkaji filem, hal-hal propaganda paling luas tersebar melalui kaca
televisyen. Adolf Hitler menyebarkan dakyah Nazisme menerusi kaedah hipnosis
perfileman.
Bahasa
orang-orang intelektual mencirikannya sebagai hegemoni, yang dipinjam dari
perkataan Hegemon yang membawa maksud raksasa yang berkuasa dalam mitos Yunani.
Mungkin Ultraman ini juga pernah berlawan dengan Hegemon. Kalah atau menang,
ianya kekal sebagai mitos.
Salah
satu adegan wajib dalam tayangan-tayangan Ultraman adalah raksasa mestilah
muncul terlebih dahulu. Di saat kemunculannya yang tidak pasti dari mana,
secara tiba-tiba mengamuk, membelasah dan merobek bangunanPpada masa yang sama
Ultraman pasti muncul juga entah dari mana, melawan kejahatan raksasa yang
memusnahkan.
Adegan
yang sama telah dan sedang menjelma dalam realiti politik kita. Tiba-tiba
sahaja entah dari mana, raksaksa bernama tol, cukai perkhidmatan, harga minyak
dan gas dan apa-apa lagi muncul mengamuk.
Di
saat hujung penggal pemerintahan, maka berbondong-bondonglah pondok tol
dihapuskan, cukai mahu dikaji semula, subsidi yang ditarik balik ingin
dikekalkan dan macam-macam janji lagi. Pemerintah yang mencipta raksasa, mereka
jugalah menjadi Ultraman yang mahu menyelamatkan jiwa seluruh rakyat.
Taktik
‘Ultraman-Raksasa’ inilah yang kita perlu perhatikan dan berhati-hati. Hal ini
kerana pilihan raya umum sangatlah dekat. Jadi, setiap apa yang termampu pasti
akan dilakukan sekejap sebagai bodekan wajib untuk terus berkuasa.
Dalang
pelaku – orang yang sama
Strategi
demi strategi harus disusun sebagai skrip. Skrip ini diolah seperti merangka
sebuah cerita. Ada
permulaan, klimaks dan pasca-klimaks (resolusi).
Mula-mula,
untuk memancing perhatian. Cara yang paling berkesan adalah mencipta
kontroversi. Misalnya, perancangan untuk mengubah skim gaji dan pangkat
penjawat awam. Kalau kakitangan awam diam, berjayalah konspirasi mengenakan
mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kalau
seluruh penjawat awam, kecuali yang di puncak kayangan, memekik untuk
membantah, maka skrip seterusnya adalah strategi memberi ubat kepada penyakit
terbabit. Tibalah masa untuk memansuhkan cadangan berniat busuk yang awal itu.
Shahdan,
slogan-slogan terima kasih pantas menghiasi setiap ruang yang ada walhal dalang
pelakunya adalah sosok yang serupa Sama sahaja seperti taktik penerbit
Ultraman; keluarkan raksasa dahulu untuk membikin kecoh, kemudian barulah
Ultraman datang sebagai penyelamat supaya hal-hal seterusnya selesai.
Dalam
perkara ini, masih ramai antara kita yang alpa. Sehebat-hebat Ultraman sekali
pun, raksasa akan terus muncul membinasakan bumi. Jadi, kenapa perlu
bertanggung harap kepada Ultraman?
Perlukah
adiwira menyelamatkan kita?
Sebaiknya,
kita sebagai rakyat perlu secara pro-aktif memainkan tindakan untuk mencegah
kemunculan raksasa-raksasa itu. Jikalau kita aplikasi hari ini di dalam
realpolitik Malaysia ,
apakah kebobrokan yang berpanjangan selama 54 tahun itu mampu disorokkan di
lubang cacing selama-lamanya? Apakah dengan sedikit kebaikan yang diulang-ulang
menjelang pilihan raya kita benarkan untuk merasa nikmat ditindas kezaliman
untuk satu penggal lagi?
Dalam
strategi politik lapok, taktik wayang Ultraman ini sangatlah berkesan untuk
terus melegarkan rakyat dengan proses pembodohan kerana penipuan yang
berulang-ulang akan menjadi kebenaran. Jadi, ketika detik pilihan raya hampir
berbunyi, gajah pun menyerupai tikus, besi juga mampu berganti emas.
Semuanya
kerana setiap undi kita adalah permata buat setiap pemimpin politik yang cuba untuk
memerintah negara dan bergelar kerajaan. Jadi, bagi kita yang sudah
mengunjur ke hadapan dan bosan dengan sogokan material ini, kenapa tidak untuk
kita cuba
mendekati politik baru dan meninggalkan wayang-wayang Ultraman ini.
Kita
sebagai pengundilah yang harus bijak memanfaatkan ruang yang diberi, undilah
calon dan parti yang paling sesuai untuk menerajui tampuk kepimpinan negara. Ultraman
hanya fantasi untuk kanak-kanak; kecualilah kita mahu terus dilayan seperti
kanak-kanak oleh pemerintah yang ada. – Roketkini.com
没有评论:
发表评论