Source: Roketkini.com
Oleh
Ahmad Tajuddin Abdullah
3
February 2012
Kenyataan
ini seolah-olah saya mahu menyertai politik selepas tamat pengajian. Tidak,
bukan itu maksud saya. Tetapi sedikit komentar dari saya setelah memerhatikan
beberapa siri kejadian yang tidak disangka-sangka oleh ramai rakyat Malaysia yang
aktif memerhatikan gelombang politik tanah air muttakhir ini.
Siri
kemasukan ramai nama-nama besar Melayu (terpulang kepada persepsi pembaca) ke
dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) akhir-akhir ini menimbulkan persoalan,
apakah tuduhan dan serangan UMNO selama ini terhadap parti tersebut tidak
berjaya mempengaruhi orang Melayu?
Saya
membaca beberapa keluhan dan rasa resah dalam kalangan rakan-rakan saya dan
komen-komen pembaca mengenai berita ini, dengan menganggap mereka yang
menyertai DAP sudah lupa asal usul, terpengaruh dengan ideologi komunis, dasar
tidak mengenang budi dan sebagainya.
Bagi
saya, ini lumrah dunia politik. Orang akan mengecam segala 1001 perkara yang
mereka tidak suka. Tambahan pula, apabila perkara itu berlawanan dengan
kebiasaan mereka.
Datuk
Saifuddin Abdullah ada menulis sebuah artikel yang disiarkan oleh Sinar Harian
berkenaan politik fitnah dan hikmah di Malaysia . Artikel yang bagus,
seolah-olah Saifuddin ingin menegur barisan partinya sendiri mungkin. Ini
telahan saya.
Jika
dalam artikel tersebut, Saifuddin mengutarakan idea berkenaan politik hikmah
yang wajib didasari oleh setiap warga Malaysia bagi menentang politik fitnah
yang cukup keji, maka kali ini saya mengutarakan pula idea politik matang bagi
mengatasi sindrom politik takut dalam diri rakyat Malaysia terhadap beberapa
perkara yang dipalsukan kebenarannya oleh pihak-pihak tertentu.
Melayu
sudah lama ditipu
Saya
merujuk kepada beberapa penulisan oleh Aspan Alias dan Sakmongkol 47 selepas
mereka berdua secara rasmi mengisytiharkan kemasukan mereka ke dalam DAP yang
membongkar beberapa titik penting untuk dibincangkan dalam artikel ini.
Antaranya,
orang Melayu sudah sekian lama ditipu bulat-bulat oleh UMNO/BN melalui media
mereka bahawa DAP itu parti Cina. Bukan sekadar Cina, malah mereka menambah
lagi garam dengan mengatakan bahawa DAP itu anti-Melayu, anti-Raja, chauvinist,
mahu menjadikan Perdana Menteri dari orang Cina dan pelbagai lagi.
Melayu
ditakut-takutkan sejak sekian lama dengan kenyataan yang tidak berasas.
Seolah-olah negara ini tiada perlembagaan, dan orang-orang DAP tidak tahu
menghormati perlembagaan!
Orang-orang
kampung apabila mendengar perkataan DAP, seolah-olah kita menyebut segerombolan
komunis memasuki kampung. Sampai begitu sekali ketakutan yang UMNO/BN berjaya
tanamkan dalam diri hampir keseluruhan masyarakat Melayu terutamanya mereka
yang lahir pada era 80-an dan ke bawah.
Malah,
tidak terkecuali sebahagian besar mereka dalam kalangan generasi saya pun!
Menakutkan
Melayu demi survival politik
Rasanya
mungkin ini hujah paling tepat kenapa sindrom takut ini ditanam dalam diri
setiap warga Malaysia .
Mudahnya, mereka yang sedang berkuasa ingin terus mengekalkan survival kuasa
itu dalam genggaman tangan mereka.
Cara
paling mudah ialah dengan memberi gambaran seburuk mungkin kepada rakyat
terhadap pihak lawan mereka. Sentimen perkauman adalah bahan bakar yang paling
mudah disambar api.
Pantang
disentuh, pasti marak apinya tanpa mampu disekat.
Perkara
biasa yang kini hampir basi ialah kedudukan Raja, Islam dan ketuanan Melayu.
Inilah melodi yang dimainkan oleh parti pemerintah sekarang untuk
menakut-nakutkan orang Melayu.
Mereka
berbuat demikian dalam keadaan mereka menyekat pelbagai sumber lain untuk
rakyat menilai dan berfikir. Minda rakyat terutamanya Melayu dikongkong dengan
sentimen basi ini. Pantang dikritik, pasti melenting dengan isu basi
ketiga-tiga di atas.
Setiap
kali pilihan raya, inilah antara melodi yang paling hangat. Rakyat bukan bodoh,
tetapi mereka tidak mendapat maklumat yang meluas. Mereka dipaksa untuk
menerima penipuan tersebut hidup-hidup.
Mereka
yang tidak pernah di ajar untuk berfikir, akan cuma pandai bertempik dengan
semangat keMelayuannya yang akhirnya pak menteri bina rumah banglo
bertingkat-tingkat, rakyat yang diperbodohkan miskin merempat.
Setiap
tahun mereka perbaharui penipuan ini di PWTC dengan laungan penuh
semangat, Hidup Melayu!
Seperti
saya tulis di atas, hal ini semua dilakukan demi survival kuasa memerintah
mereka.
Datuk
Onn pencetus idea politik matang
Saya
masih ingat tentang sebuah artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar Harakah,
mengulas panjang tentang fenomena di Malaysia semasa dan selepas PRU-12.
Kebanyakan
orang tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti orang Melayu Islam mengundi
calon Cina sebagai wakil rakyat mereka, dan juga masyarakat Cina yang sanggup
menerima calon PAS sebagai wakil mereka.
Ini
luar dari jangkaan ramai. Ketika Datuk Onn menyuarakan cadangan agar keahlian
UMNO dibuka kepada bukan Melayu, beliau telah ditentang oleh ahli-ahli UMNO
sendiri sehingga Datuk Onn membuat keputusan keluar dari parti tersebut dan
menubuhkan Parti Malaya Merdeka (Independence of Malaya Party).
Menjadi
persoalan di sini, kenapa Datuk Onn mampu melontarkan cadangan yang begitu luar
dari kerangka masyarakat ketika itu berfikir sehinggakan ramai menganggap beliau
sudah tidak relevan?
Hakikatnya,
beliau sendiri telah nampak perubahan politik yang bakal berlaku pada tahun
2008 ketika itu.
Namun,
pemimpin UMNO ketika itu membutakan mata mereka daripada memandang hal yang
sama.
Mereka lebih senang menggunakan helah dan penipuan seperti yang saya
nyatakan di atas demi mengekalkan kuasa yang ada di tangan mereka.
Saya
merasa amat yakin, jikalau cadangan Datuk Onn diterima ketika itu sudah tentu
permasalahan sindrom politik takut yang melanda masyarakat Malaysia dapat
ditamatkan.
Saya
menghormati Datuk Onn kerana keberaniannya melawan arus masyarakat ketika itu,
demi tujuan melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang matang dan
benar-benar harmoni.
Beliau
cuba mendidik masyarakat
Melayu ketika itu, menyedarkan mereka dari tidur bahawa Malaysia ini bukan milik orang Melayu sahaja
tetapi mereka berkongsi tanah yang sama dengan rakan cina dan india .
Beliau
telah mencetuskan satu arus pencerahan yang amat sukar diterima pada waktu
tersebut.
Kini,
idea cetusan beliau itu makin marak malah telah menyebabkan pihak pemerintah
menggigil ketakutan.
Bayangkan seorang apek cina tidak malu mengangkat sepanduk
“Kami Sayang Tok Guru” dan PAS sudah siap dengan penubuhan Dewan Himpunan
Penyokong PAS yang dianggotai oleh mereka yang bukan Islam.
Kini,
orang Melayu mula menyertai DAP secara berjemaah!
Kenapa
sertai DAP?
Ya,
saya mahu menyertai DAP. Saya mahu mendidik masyarakat di sekitar saya bahawa
DAP bukan komunis. DAP bukan cina. DAP bukan anti-Melayu. DAP bukan chauvinist.
DAP bukan anti-Islam. DAP bukan semua tanggapan kolot di atas.
DAP
adalah parti politik yang sah di sisi Perlembagaan Malaysia . Tiada beza taraf DAP dan
UMNO dari sudut perundangan. Cuma bezanya antara dua parti itu ialah DAP cuba
mencerdikkan rakyat dan UMNO sudah sekian lama menipu rakyat.
Walaupun
sudah ramai masyarakat Malaysia
sedar tentang hakikat ini, namun hal ini hanya berlegar di kawasan yang
mempunyai capaian maklumat yang tepat sahaja.
Bagaimana
dengan nasib warga FELDA?
Bagaimana
dengan nasib penduduk Sabah dan Sarawak ?
Bagaimana
dengan nasib masyarakat di kawasan pedalaman?
Hanya
dengan kesediaan masyarakat yang sedar dan matang politik, untuk berani terjun
melakukan sesuatu yang lain dari kelaziman maka cetusan pencerahan ke arah
politik matang ini dapat dipercikkan.
Semakin
ramai yang berani membuat keputusan begini, sudah tentu sindrom politik takut
itu dapat dikurangkan hari demi hari. Pergiatkan program-program pencerahan
kepada masyarakat.
Saya
tidak tulis di sini bahawa hanya dengan menyertai DAP sahaja satu-satunya cara
untuk membina sebuah masyarakat yang matang politiknya, tetapi ini salah satu
usaha ke arah itu.
Masyarakat
yang matang politiknya akan mampu berfikir secara rasional, tidak terpengaruh
dengan sentimen perkauman, sedar akan hak mereka untuk berfikir dan memilih
secara bebas tanpa dikongkong, tidak terperangkap dengan sindrom kerajaan
pemerintah adalah kuasa segala-galanya tetapi insaf bahawa merekalah sebenarnya
penentu siapakah yang akan menjadi pemimpin kepada mereka sendiri.
Saya
terpegun dengan berita 2 graduan perundangan UiTM menyertai DAP. Timbul di
benak saya, apakah ada “perancangan” yang gagal sehingga terjadinya kes
sebegini terhadap graduan UiTM?
Mari
kita baca ini, sambil berfikir secara orang dewasa yang matang.
Wallahualam.
Source:
没有评论:
发表评论