Source: Roketkini.com
14
January 2012
Haji
Azhari bin Ismail merupakan seorang veteran DAP, mempunyai lulusan Pengajian
Syariah dan pernah bertanding menentang bekas Menteri Kesihatan MCA Datuk Chua
Jui Meng pada PRU 2004 di Parlimen Bakri, Johor. Kini beliau bergiat aktif
membantu warga bandaraya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit
Bintang. Ikutilah pengalaman suka duka beliau dalam wawancara bersama wartawan
Roketkini Fairuz Azhan.
Boleh
saudara ceritakan sedikit sebanyak latar belakang peribadi dan politik saudara?
Nama
penuh saya Haji Azhari bin Ismail, lahir di Muar, Johor pada 1952. Saya
merupakan anak sulung kepada Ismail bin Dato` Abdullah yang merupakan bekas
Ahli Jawatankuasa PAP Cawangan Muar pada tahun 1964-65. Saya baru sahaja
menamatkan kursus Diploma Eksekutif Pengajian Syariah di Universiti Malaya .
Minat
saya dalam politik bermula di bangku sekolah. Keluarga saya merupakan keturunan
Dato Onn Jaafar. Dan segala impian Dato Onn tercurah kepada keluarga kami.
Aspirasi Dato Onn pada ketika itu adalah untuk menjadikan UMNO sebuah parti
yang berbilang kaum. Tetapi idea tersebut telah ditentang oleh UMNO.
Yang
menyebabkan saya memilih DAP adalah dua perkara. Yang pertama, ketika saya
menetap di Seremban dulu, (pengasas DAP) Dr Chen Man Hin telah berkempen di
rumah saya. Itulah yang menyebabkan saya tercenderung kerana beliau telah
berkempen di setiap rumah orang Melayu. Ini amat berbeza dengan BN. BN tidak
berkempen rumah ke rumah. Dan apabila Dr. Chen menyatakan aspirasinya di rumah
saya, saya amat tertarik kepada DAP.
Yang
kedua, saya bertambah tertarik apabila saya menemui YB Lim Kit Siang yang baru
sahaja dibicarakan di bawah Akta Hasutan.
Dari
situlah bermulanya penglibatan dan pembelajaran saya dalam bidang politik dan
DAP. Malangnya beliau telah keluar dari parti dan bersara pada tahun 1990.
Selepas itu saya berkerja dengan Fong Kui Lun.
Walau pun Tan Sri Lee Lam Thye
pernah memberi tawaran berkerja kembali dengan beliau di luar dunia politik,
atas minat dan semangat saya dalam politik saya memilih berkerja dengan Fong
Kui Lun. Dan pada waktu itu Fong menjadi MP untuk Kuala Lumpur-Bandar (kini
Bukit Bintang). Saya pun tak tahu apa yang saya buat, tapi orang selalu menegur
saya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantu mereka. Itu
antara pengalaman positif.
Pengalaman
negatif pula, orang selalu tanya kepada saya, mengapa awak ‘dedicate’ hidup
awak dalam DAP? Pilih la parti lain. Tapi tak boleh. Saya telah menyertai
sebuah parti yang sesuai dengan jiwa saya. Saya dalam DAP ini tiada jawatan
penting. Saya di Wilayah Persekutuan hanya sekadar Penolong Setiausaha DAP Kuala Lumpur . Pernah juga
menjadi Naib Pengerusi Wilayah, tapi jawatan semua ini saya tak minat.
Mengapa
saudara memilih DAP sebagai wadah perjuangan? Apa istimewanya DAP?
Walau
pun DAP ini orang kata cauvinis Cina, perkauman dan sebagainya, orang lupa
bahawa UMNO itu hanya untuk orang Melayu, tiada kaum-kaum lain. DAP bersifat
semua kaum dan semua kaum diperjuangkan. Tapi suara orang Melayu dalam DAP
tidak kedengaran kerana tiada atau kurang orang Melayu dalam DAP. Apabila kita
bawakan hal-ehwal Islam di Parlimen, kerajaan tidak menjawab.
Contohnya isu
tanah wakaf Kuala Lumpur .
Soalan tersebut, paling belakang sekali dalam senarai soalan. Saya memang suka
dengan DAP kerana ia parti yang memperjuangkan semua orang, semua kaum. Semua
orang sama-rata dalam DAP, maksudnya, tiada apa beza antara kita sebagai
manusia.
Semua
orang berhak, namun semua orang kena sama-sama berkerja. Selepas Lee Lam Thye
bersara dulu, ramai orang cuba
memujuk saya menyertai UMNO, tapi saya tak nak. Saya bahagia di DAP, bukan
pendapatan yang kita kejar tetapi kepuasan membantu orang ramai. Yang datang
berjumpa dengan kita adalah orang yang ‘desperate’ dengan UMNO-BN itu
sendiri.
Bila
ambil gambar masuk surat
khabar, itu cara BN menolong. Namun, bila masalah sebenar mereka tidak dapat
diselesaikan, mereka datang ke kita dan kita sedia membantu mereka. Itu yang
sepatutnya saya kira. Kalau nak tolong orang, tolonglah sampai berjaya. Jika
tidak berjaya pun, buat yang terbaik untuk menolong orang.
Di
DAP saya tidak nampak langsung bagaimana mereka membezakan kaum mereka menolong
semua orang tanpa melihat warna kulit dan saya serasi dengan perjuangan
sedemikian.
Saudara
boleh dianggap veteran Melayu dalam DAP. Pada pengamatan saudara, bagaimana
penerimaan orang Melayu terhadap DAP dari tempoh saudara terlibat dalam DAP
sehingga hari ini?
Bila
saya mula masuk dulu, memang saya dikutuk habis-habisan.
Apalah join DAP, parti Cina, pengkhianat bangsa, macam-macam orang
tomah saya. Sehinggakan apabila saya menentang Datuk Chua Jui Meng di Bakri,
orang Melayu memaki saya, “Apalah engkau ini menolong Cina! Kenapa engkau tak
tolong Melayu?”. Saya amat harian, bukankah lawan saya orang Cina BN? Apa
bezanya? Sampai kan
keluarga saya pun tak mahu pangkah saya, tapi tidak mengapa, itu hak
masing-masing.
Pada
pendapat saudara, perlukah DAP mendekatkan diri kepada masyarakat Melayu?
Pada
pandangan saya, DAP harus menjadi sebuah parti yang baik. Ia harus menjadi
parti yang baik dan bersih dan secara semula jadi orang Melayu akan tertarik.
Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja orang Melayu yang menyertai parti, malah
zaman bila saya mula masuk memang orang Melayu beratur untuk menyertai DAP.
Namun mana mereka pada hari ini? Ramai masuk kerana ada kepentingan. Nak lesen,
nak pertolongan, nak itu, nak ini, tapi dalam DAP tiada semua ini.
Yang
ada di DAP hanyalah perjuangan. Kerja keras, bantu rakyat, itu sahaja. Kalau
nak berniaga, nak harta, bukan di sini. Yang tak dapat bertanding, lari, tak
dapat lesen, cabut, Tapi bukan hanya parti kita saja yang mengalami masalah
ini. Masalah ini kita lihat di mana-mana seluruh negara pun ada.
Jadi
tugas kita di DAP adalah untuk menjadi sebuah parti yang baik dan mempunyai
idealisma yang baik yang boleh menyebabkan semua orang tertarik. Contohnya,
pergi ke DAP, masalah selesai. Pergi DAP, boleh dapat bantuan.
Semasa
Persidangan Kebangsaan DAP 2012 baru-baru ini, saya nak naik ke pentas tapi tak
sempat. Saya ingin mengetengahkan isu masalah sekolah agama. Kini kerajaan bagi
token RM100 pada pelajar sekolah dan RM200 untuk pelajar universiti.
Namun
apakah bantuan untuk sekolah agama? Mereka kena bayar yuran, buku teks, pakaian
dekat RM200-300. Sekolah Agama ni, sekolah kerajaan juga. Bagilah sesuatu untuk
mereka juga. Sekurang-kurangnya pengecualian yuran. Sebab apa, sekolah agama di
KL ditadbir oleh Majilis Agama Islam. Dan wang zakat Majlis Agama Islam adalah
RM280 juta. Mana duit itu pergi? Mereka ini bukankah asnaf?
Bukannya
kita di DAP tidak boleh berkempen untuk orang Melayu, boleh. Tapi kita kena
menjelaskan konsep parti, Malaysian Malaysia yang dibawa, apa yang parti dah
capai, apa parti akan bawa. Kita kena jelaskan kepada mereka, dan terpulanglah
kepada mereka.
Contohnya
CAT (cekap, akauntabel, telus). Jika kita berjaya, ia adalah satu ‘catalyst’.
Orang Melayu dah nampak dan mula berfikir. Boleh ke Lim Guan Eng membawa
kemakmuran kepada semua orang di Pulau Pinang ?
Pendapatan bertambah, tiada rasuah, yang susah dibantu, kemiskinan tegar
dihapuskan. Perkara-pekara seperti inilah yang dilihat.
Di
sini pendidikan politik sangat penting. Kita harus mendidik rakyat dengan hal
perihal negara. Mungkin kursus ekonomi, diskusi tentang dasar dan sebagainya.
Jadi bila para Yang Berhormat berdebat di Parlimen, orang ramai faham dan tahu
apa pendirian dan perjuangan DAP.
Malah
dulu terdapat ramai tokoh Melayu ‘hardcore’ dalam DAP. Ahmad Ton, Zulkifli Mat
Noor, Ibrahim Singgeh, dan sebagainya tapi pada hari ini, kurang penyambung
perjuangan mereka. Bagi saya, apa perjuangan yang betul saya ikut. Kalau kita
berkerja dan membantu orang, saya ikhlas. Tawaran nak jadi calon ke, apa ke,
itu nombor dua.
Baru-baru
ini, dua veteran UMNO telah menyertai DAP iaitu Aspan Alias dan Datuk Ariff
Mohd Sabri. Sebagai seorang veteran DAP, apa komen saudara tentang kemasukan
mereka berdua?
Ia
amat baik dan saya mengalu-alukan mereka. Kemasukan orang Melayu dalam DAP janganlah
disekat. Siapa nak masuk, kita kena buka pintu. Syaratnya, mereka kena ikut
perjuangan, konsep, dan peraturan DAP. Mereka juga kena merasa asam garam
menjadi ahli DAP, turun padang ,
jumpa pengundi, dan sebagainya. Mereka ini ahli politik yang veteran dari kem
yang lain. Dan suasana dan pengalamannya berbeza. Inilah budaya DAP dan mereka
harus tahan dan pertahan budaya DAP.
Yang
pertama, konsep kita adalah konsep suka rela. Kerjanya penat tiada imbuhan atau
bayaran, semuanya sukarela. Mungkin di kem lagi satu budayanya berbeza, mungkin
ada wang, imbuhan dan sebagainya. Itu harus difahami, bahawa konsep kita di DAP
segalanya adalah atas kesukarelaan.
Nanti
bila tak dapat peluang dan sebagainya, nak cabut, itu susahlah. Tapi jika nak
perjuangkan kesamarataan, bangsa Malaysia , kita amat mengalu-alukan
mereka. Malah kita mengalukan sesiapa sahaja, tidak kira pangkat, kerja ke,
pelajar ke. Lagi ramai dalam perjuangan kita lagi baik.
Sebenarnya,
apabila lebih ramai orang Melayu menyertai DAP, wajah DAP itu akan bertukar.
Dah tiada lagi dah wajah keCinaan dan menjadi keMalaysiaan. Kita lihat sahaja
pada Persidangan DAP baru-baru ini saya tak pernah terbayang Kadazan, Iban,
Murut, semuanya boleh datang. Ini mencerminkan Malaysian Malaysia DAP.
Namun
atas kertas, mereka tergolong sebagai bangsa “lain-lain”. Apa ini? Sedangkan
mereka juga rakyat dan warga negara. Hidup mereka bagaikan di zaman James
Brooke, sangat daif sedang Sarawak sebuah
negeri yang amat makmur.
Bila
kita masuk persidangan UMNO, kita tak mungkin jumpa semua ini. Balik-balik
cerita hak istimewa Melayu, hak istimewa Melayu. Tapi saya sebagai orang Melayu
pun tak dapat rasa apa-apa. Lesen ke, peluang ke, kontrak ke…Bila minta secara
sah tak pernah dapat sebab saya dicop ahli DAP. Kalau nak bagi, bagilah sama
adil. Ini UMNOputra aje yang dapat. Nak kontrak besar kena jadi ahli UMNO. Mana
boleh macam tu. Kita mahukan keadilan dan kesamarataan.
Bolehkah
saudara ceritakan sedikit pengalaman semasa bertanding di Parlimen Bakri dalam
PRU 2004 dahulu?
Waktu
tersebut, saya telah tewas kerana undi orang Melayu. Di kampung saya 95 peratus
orang telah mengundi saya. Seteru saya Datuk Chua Jui Meng memang sebelum ini
tidak pernah melawati kawasan tersebut mahu pun turun padang . Namun bila mengetahui lawannya ialah
saya, orang Muar, beliau terus datang. Barulah beliau mengambil kisah tentang
rakyat disini. Barulah ada jalan, projek sana
sini dan sebagainya.
Orang
jumpa saya dan berkata, “Tuan Haji, baru sekarang Datuk Chua turun padang dan memberi
bantuan. Selama ini tidak pernah datang.” Saya balas, “Alhamdulillah-lah.
Disebabkan saya bertanding, orang kampung dapat rasa bantuan dan pembangunan.”
Tapi masa tu sokongan rakyat terhadap BN memang kuat, tidak macam sekarang,
faktor Anwar, pekauman melampau, orang Melayu fed-up dengan UMNO, dan
kita berharap ombak kesedaran ini akan terus kekal menjelang PRU 13 nanti.
Bagi
saya, saya ikhlas, sebelum solat Subuh saya niatkan dalam hati macam mana nak
bantu orang hari ini. Bila kita berdoa, niat kita baik, Allah akan mempermudahkan.
Orang berjumpa kita minta sedekah, orang nak minta wang kerana tidak boleh
makan, tersadai di PuduRaya semuanya datang ke sini (Pusat Khidmat Masyarakat
Parlimen Bukit Bintang).
Di
KL tiada Ketua Kampung, tiada JKK, orang yang susah semua datang ke kita. Kalau
hantar surat ke Haji Azhari, DAP KL, surat mesti sampai walau
pun tiada alamat penuh. Saya tanya posmen, macam tahu? Dia kata semua orang
tahu, itu yang kita pelik tu. Ini lebih besar dari PM! (ketawa)
Yang
penting niat dan cara kita. Dan saya lihat wadah DAP ini saya lihat tiada
masalah bagi saya. Tak pernah ahli DAP kata, “Azhari, mari kita makan babi,
mari kita minum ke”, tak ada dan tak pernah. Bila saya ikut mereka dan tiba
waktu solat, mereka kata, “Eh, Azhari, dah tiba waktu solat, mana mahu
berhenti? Di masjid mana? Tak pe, kita tunggu”. Bila makan bungkus, mereka
mencari makanan yang halal untuk saya. Mereka sentiasa hormat kepercayaan saya
dan menjaga saya. Untuk parti-parti lain di sana , saya tak tahulah macam mana pula.
Bagaimana
kita boleh mengubah persepsi negatif ciptaan UMNO-BN terhadap DAP dan
menyatakan kebenaran secara jelas dan berkesan?
Ini
semua peranan media. Inilah permainan kotor media UMNO sejak saya dibangku
sekolah. DAP dihentam sana-sini, dipersalahkan kerana 13 Mei dan sebagainya.
Saya anggap semua itu positif. Asakan daripada media cetak, elektronik, ucapan
pemimpin yang mengatakan DAP anti-Islam, pro-Kristian dan sebagainya.
Kita
nak lawan media mereka macam mana? Memang tak boleh dan amat sukar. Tapi Alhamdulillah
kita sekarang ada internet. Dan segala peluang yang kita ada, meski pun
sedikit, biarlah sekadar ucapan sekali pun, kita mesti menceritakan kebaikan
DAP. Itu sahaja cara kita, kalau nak lawan media mereka memang tak boleh lawan.
Jika mereka tak tomah kita, macam mana mereka nak menang?
Bagi
saya, saya tak terkesan, biarlah mereka nak kata apa pun. Saya dah macam lali.
Asalkan solat saya tunaikan, Ramadhan saya puasa, kebaikan saya buat, orang
minta tolong saya tolong, maka saya tak terjejas apa pun dengan tomahan dan
fitnah mereka. Ini semua perang saraf.
Oleh
itu kita pun kena tingkatkan lebih-lebih lagi pilihan raya yang nak datang ni.
Macam-macam cerita keluar. Hari tu (Timbalan Presiden UMNO) Tan Sri Muhyiddin
Yassin belasah saya dalam Persidangan UMNO sebagai ‘si Melayu DAP yang malang ’.
Dia
kenal saya sebab kami sama-sama orang Muar. Tak pe lah jika beliau nak kata
saya, biarlah saya tidak menjadi wakil rakyat, asalkan saya dapat membantu
orang ramai. Tak pe lah pejabat kami buruk, tiada minuman atau pun makanan,
tapi kita senang berkhidmat untuk orang. Daripada bangunan tinggi-tinggi,
rasuah, buat kerja bukan-bukan, ini semua tidak guna.
Bagaimana
persiapan DAP dan Pakatan Rakyat untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?
Sebagai
AJK saya rasa kini ia amat lancar, kita sudah pun mengurus pembahagian kerusi
dan persiapan logistik sedang dijalankan. Bila tiba musim pilihan raya ni,
semuanya bertambah cergaslah. Kita bukan sahaja dua kali ganda lagi kuat
berkerja, malah tiga, empat kali ganda lebih kuat berkerja. Dan waktu itulah
macam-macam orang akan datang. Tak tahulah spy ke, apa ke, ada-ada
saja.
Pada
2008, kita sendiri tak sangka kemenangan kita. Waktu itu saya menjaga Bukit
Bintang, saya tak bertanding, saya menjaga undi pos tentera dan askar. Undi pos
pun banyak menyebelahi kita. Di kawasan ini terdapat 5,000 undi pos, macam mana
DAP boleh menang ini? Seteru kami menepuk dahi, macam manalah DAP boleh menang
dan dapat undi pos yang besar? Itu yang mereka buat bantahan di mahkamah, tapi
mereka kalah.
Berdasarkan
pengalaman saudara di Wilayah Persekutuan, apakah yang diinginkan oleh warga Kuala Lumpur ?
Pada
hemat saya, warga KL lebih cenderung kepada PR berbanding BN. Ini kerana saya
lihat kebanyakan mereka mempunyai fikiran yang anti-establishment. Saya
lihat parti-parti BN seperti MCA, Gerakan, perlu kerja lebih kuat di kawasan
ini macam mana DAP harus kerja lebih kuat di kawasan majoriti Melayu. Juga yang
saya lihat sokongan masyarakat Cina terhadap dua parti tersebut dan BN semakin
merosot dan mereka hanya positif terhadap DAP sahaja. Jika DAP tiada di sini,
mereka akan mencari parti alternatif yang boleh menyuarakan pendapat mereka.
Oleh itu kita dapati DAP berada di tempat yang betul.
Masalahnya
di luar bandar, letak apa pun mereka akan cenderung kepada BN. Memang payah nak
ubah. Oleh itu kini Johor dianggap frontline state. Macam mana kita nak
ubah tu? Nak ubah dalam sekelip mata memang tak boleh. Oleh itu pendidikan
politik amat penting. Jika dulu PAS dengan DAP dilihat tidak ngam, tapi lama kelamaan,
kita boleh berkerjasama. Mungkin dengan lebih banyak pendedahan dan pendidikan
politik, masyarakat luar bandar akan lebih terima perjuangan kita.
Apa
pesanan yang ingin disampaikan saudara kepada warga kota ?
Negeri-negeri
lain di Malaysia, semua ada peruntukan. Walau pun kita sudah menjadi wakil
rakyat di sini berpuluh-puluh tahun, kita di Kuala Lumpur tidak pernah mendapat
peruntukan. Sedangkan memang ada peruntukan untuk kita dari kerajaan pusat.
Walau pun ada peruntukan, mereka hanya salurkan peruntukan tersebut kepada
calon mereka dan parti mereka.
Contohnya
di sini, Ketua Bahagian MCA yang mengambil duit yang sepatutnya milik kita.
Saya difahamkan hampir RM500 juta. Duit inilah yang kita patut salurkan kepada
rakyat, dan pembangunan kecil. Contohnya surau, bila mereka minta peruntukan
tak dapat. Tapi bila kita tulis surat
kepada Bahagian Pembangunan Wilayah, barulah disaluarkan. Terpaksalah buat baik
dengan Menteri Wilayah Persekutuan. Yang minta pun orang Islam lantas dia pun
bagi. Tapi kita tak gembar-gemburkan segala apa yang kita buat.
Apa
yang warga KL mahukan ialah sebuah kerajaan tempatan yang dipilih, Datuk Bandar
yang dipilih oleh rakyat. Rakyat KL sudah lama inginkan ini dan ia sudah lama
diperjuangkan. Tapi kerajaan pusat BN tak kan bersetuju kerana ia menjejaskan
kepentingan politik mereka.
Rakyat
Kuala Lumpur bagi saya sudah tahu kebolehan dan budaya kerja kita di DAP.
Jumlah orang meminta tolong kita ramai. Orang pergi ke pusat khidmat BN dan tak
dibantu, akan mencari kita. Jadi rakyat tahulah. Kita nak cakap lebih pun tak
boleh.
Pesan
saya kepada orang Melayu ialah janganlah takut untuk menyertai atau mengundi
DAP. Segala tomahan jahat BN terhadap DAP adalah palsu belaka. Bukannya masuk
DAP ni mereka akan kafirkan kita, tidak sama sekali. Namun demikian, kita kena
jagalah amalan kita sebagai orang Islam.
DAP
ialah wadah yang baik untuk perjuangan politik. Walau pun kononnya BN
memperjuangkan semua kaum MCA, MIC dan sebagainya, tapi kita di DAP tidak
berpecah belah kerana kita merupakan satu parti. Itu yang bagusnya kita. Di
sini semua peringkat kemimpinan boleh menghadiri kongres kita. Tidak ada beza
bahagian mahu pun cawangan. Kami di DAP semuanya sama. Semua orang mempunyai
peluangan dan pendedahan yang sama rata. Itu yang menarik bagi saya di DAP.
Akhir
sekali jika terdapat apa-apa keraguan orang Islam atau pun fitnah pihak BN,
saya sendiri telah bertanya kepada Datuk Mufti Wilayah Persekutuan, apakah
hukum bagi orang Islam macam saya ini menjadi ahli DAP dan berkerja dengan DAP
– beliau menjawab bahawa ia adalah harus.
Oleh
itu, DAP sentiasa mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja dalam parti, tapi apa
yang penting mereka memahami agenda perjuangan kita, bukan untuk mendapat
pangkat atau harta yang banyak. – Roketkini.com
没有评论:
发表评论