Source: Roketkini.com
Oleh
Razan Rose
1
April 2012
Reformasi.
Satu perkataan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini
terutama selepas 1998. Perkataan reformasi diambil daripada bahasa Inggeris
iaitureformation atau kata dasarnya reform.
Jika
dilihat dalam konteks bahasa, reformasi membawa maksud pembaharuan atau
penambahbaikan yang tidak radikal dan secara perlahan-lahan. Justeru, reformasi
sama sekali bertentangan dengan revolusi yang membawa maksud perubahan secara
radikal dan mengejut.
Jadi
tidak hairan jika umum lebih toleran terhadap apa yang disebut sebagai
reformasi itu sendiri dan menolak revolusi.
Umum
mungkin tertanya-tanya. Mengapa Reformasi? Penulis juga begitu. Setelah
mendapat sedikit pencerahan tempoh hari, baru penulis faham mengapa perkataan
reformasi yang menjadi pilihan.
Reformasi
mempunyai salasilah sejarah yang sangat panjang. Bermula seawal kurun ke-16,
gerakan reformasi pertama kali dicetuskan oleh seorang reformis Eropah iaitu
Martin Luther.
Beliau
merupakan pencetus gerakan reformasi atau reformation yang menentang
penguasaan dan kebobrokan gereja Katolik ortodoks yang telah menyalahgunakan
kuasa dan agama pada ketika itu. Bertitik-tolak dari itu, muncul pula aliran
baru dalam agama Kristian yang dinamakan Protestan.
Ia
bukan soal agama. Ia soal pembaharuan dan pembaharuan semula. Jadi, perkataan
reformasi merupakan perkataan yang paling sesuai kerana ia mempunyai asas dan
fundamental yang kukuh berdasarkan sejarah.
Reformasi
juga mempunyai konotasi yang melambangkan perjuangan untuk menuntut sesuatu
yang lebih baik atau dalam konteks masa kini yang lebih popular, perjuangan
rakyat menuntut hak.
Pemilihan
istilah atau perkataan merupakan satu perkara yang sangat penting untuk menjadi
wadah perjuangan sesuatu pihak. Istilah yang tidak punya makna yang jelas boleh
mengakibatkan sesuatu perjuangan itu terbantut dek kecetekan yang ada pada
maksud istilah itu sendiri.
Masalah
Reformasi
Di
sebalik laungan-laungan ‘Reformasi’ yang sering diazankan oleh para reformis,
walau tampak bertenaga dan padu, hakikat masih terdapat kekurangan.
Ya,
satu hakikat yang sangat menyedihkan yang sedang berlaku dalam kalangan
penggerak Reformasi masa kini khususnya aktivis mahasiswa. Mereka terlalu
taksub dan ghairah memperjuangkan apa yang mereka panggil sebagai Reformasi
sehingga mereka terlupa untuk mencari makna di sebalik perkataan keramat itu.
Reformasi superficial yang
dibawa oleh mereka seolah-olah hanya terhad di jalanan dan pelbagai forum yang
tidak mempunyai elemen perbincangan yang mantap. Jadi tidak hairan lah jika
masyarakat cenderung untuk mentafsirkan Reformasi itu sebagai demonstrasi.
Permasalahan
yang berlaku ini sebenarnya berpunca daripada aktivis mahasiswa itu sendiri.
Ramai aktivis yang tidak membaca (atau malas membaca) dan jika ada pun, bacaan
yang dilakukan hanya semata-mata untuk menguatkan atau mengisi hujah-hujah
mereka sedangkan kefahaman tentang bacaan itu amat kurang.
Ini
satu penyakit yang serius dan semakin menular menjadi wabak. Pembacaan dan
kefahaman perlu diperkuat dalam diri setiap aktivis mahasiswa sebelum mereka
mula mencanangkan pembawaan mereka.
Satu
soalan. Bagaimana anda mahu memahamkan orang lain tentang idea yang anda bawa
sedangkan anda sendiri tidak jelas apa yang anda perjuangkan? Jangan jadi
seperti tin kosong yang tergeletak di tengah jalan. Kuat berbunyi, tapi tak
punya isi.
Pasca-skrip:
Mungkinkah aktivis masa kini terlalu ghairah untuk membebaskan orang lain
sedangkan minda mereka sendiri masih belum terbebas? – Roketkini.com
没有评论:
发表评论