Source: Roketkini.com
10 March 2012
DILEMA
Bila saya tengok Datuk Seri Najib Razak, hebat juga
orangnya. Slogan 1Malaysia cukup baik. Pelbagai bantuan dia beri kepada kita.
Bukan sahaja Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dia juga ada Kedai Rakyat
1Malaysia (KR1M) dan nanti kita akan ada perkhidmatan kesihatan 1Care.
Rasa-rasanya teringin juga nak undi Najib. Tapi dia tak
bertanding macam Prresiden Amerika Syarikat. Jadi kalau suka dia pun, saya kena
undi Barisan Nasional (BN) yang pakai simbol dacing.
Tapi BN itu bukan ada Najib seorang. Ada ramai menteri dan pemimpin-pemimpin parti
komponen seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB, SUPP, PBS, UPKO dan macam-macam
lagi.
Banyak pula mereka ini terlibat dalam macam-macam skandal. Ada tuduhan rasuah,
penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi. Ini tidak baik untuk negara kalau
pemimpin jenis ini yang berkuasa.
Malah, selepas didedahkan dengan salah guna kuasa, ada
antara mereka yang bongkak menyalahkan orang lain pula. Macam seorang menteri
yang mana suami dan anak-anaknya dapat projek jaga lembu. Dengarnya, habis duit
rakyat disapu untuk beli kondo di merata dunia, sampai ke Kazakhstan .
Daging lembu untuk kita di mana?
Lagi pun, saya sudah sedar bahawa bila kerajaan kata dia
bagi peruntukan atau bantuan, itu bukan duit menteri. Itu duit rakyat. Duit itu
datangnya dari kutipan cukai dan hasil-mahsul sumber dalam negara.
Ya tak ya juga. Kerajaan mana ada duit sendiri. Dia bukan
berniaga. Dia hanya kutip dari rakyat, baik yang miskin mahu pun yang kaya.
Lagi pun sumber-sumber negara seperti minyak, gas, pokok, balak, tanaman dan
sebagainya, itu hak kita semua sebagai rakyat.
Mana Najib dapat duit?
Tapi kalau difikir balik, bagus juga Najib sanggup beri
duit BR1M dan baucar buku dan macam-macam lagi. Apa salahnya kita dapat wang
yang sepatutnya kita dapat.
Tapi dari mana pula datangnya duit itu? Mungkin dia buat
pinjaman, agaknya. Tapi siapa pula nak bayar hutang itu?
Kita bayar hutang kerajaan?
Kenapa pula kita kena bayar? Seperti yang dikatakan tadi,
kerajaan bukan syarikat atau badan berniaga.
Jadi, kita sebagai rakyatlah yang
terpaksa bayar.
Bagaimana cara kerajaan paksa kita dan anak cucu kita
bayar? Yang tiap-tiap hari kita kena kena bayar tempat letak kereta, cukai
perkhidmatan telefon, cukai perkhidmatan restoran, tol lebuh raya, cukai pintu,
bil elektrik dan air, dan entah apa-apa cukai dan caj lagi; yang itu semualah
yang kita kena bayar bagi pihak kerajaan.
Memang tak ada salahnya kita bayar jika kerajaan sediakan
perkhidmatan yang baik dan bermutu.
Masalahnya di Malaysia, segala skandal,
pembaziran dan kronisme, itu membaham semua wang rakyat. Jadi kenapa saya kena
bayar untuk jadikan orang lain jutawan atau laksawan?
Kalau macam itu, malaslah saya nak undi untuk Najib. Kalau
saya beri undi kepadanya, bermakna BN akan terus jadi kerajaan tanpa ada
apa-apa perubahan. Malah, mungkin lebih teruk lagi.
Mungkin juga ramai pemimpin BN ingat undi saya kepada
mereka bererti saya menghalalkan segala penyelewengan, rasuah dan kronisme
mereka.
DILEMA… Maaf, itu tak sanggup saya lakukan. Mungkin saya
kena lihat di sebelah sana .
Mungkin ada sesuatu yang lebih baik dengan Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP. –
Roketkini.com

没有评论:
发表评论