Source: Roketkini.com
18 March 2012
Hari ini genap 46 tahun penubuhan
Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang
yang telah menjadi mangsa fitnah kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO sejak
penubuhannya pada 18 Mac 1966.
Ramai orang masih tidak
mengetahui apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh DAP, namun banyak pula yang
menelan bulat-bulat pembohongan UMNO-BN kononnya DAP adalah parti komunis,
cauvinis dan hanya mementingkan kaum Cina. Semua ini hanya fitnah belaka.
Sepanjang 46 tahun kewujudannya
menentang arus dan menempuh badai, DAP terpaksa mengulangi beratus, malah
beribu kali, bahawa ia adalah parti demokrat yang mahu kepada peluang saksama
dan keadilan sejagat tanpa mengira kaum dan agama. Itu sahaja. Ia bukan komunis
atau cauvinis. Ia parti pelbagai kaum untuk semua kaum.
Sepanjang tempoh itu juga, selain
fitnah yang berterusan, para pemimpin dan ahli DAP terpaksa menghadapi pelbagai
dugaan dan cabaran, termasuk penindasan pemerintah UMNO-BN. Dalam bentuk yang
kejam dan zalim.
Bersama-sama dengan rakan
seperjuangan PAS, ramai para pemimpin dan ahli DAP telah merengkok dalam
tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Senarainya begitu
panjang sekali walau pun cuba
dipadamkan dari sejarah rasmi yang dikawal oleh UMNO-BN.
Mantan Setiausaha Agung DAP Lim
Kit Siang yang kini Ketua Parlimen DAP adalah antara mereka yang pertama yang
ditahan di bawah ISA dan cuba
dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Walau
pun terbukti Kit Siang sama sekali tidak terbabit, sehingga hari ini tiada
usaha untuk memulihkan namanya yang telah dicemar oleh pemerintah UMNO-BN.
Dari senarai kepimpinan DAP hari
ini, Pengerusinya Karpal Singh juga menjadi mangsa ISA. Begitu juga Timbalan
Pengerusi Dr Tan Seng Giaw. Malah Setiausaha Agung Lim Guan Eng turut ditahan
tanpa bicara bersama ayahnya Kit Siang waktu Operasi Lallang 1987 bersama
Karpal dan Seng Giaw.
Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai
juga pernah ditahan ISA. Begitu juga Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok yang
menjadi mangsa ISA.
Pendek kata, tidak ada parti
politik yang sah di sisi undang-undang di negara ini di mana barisan
kepimpinannya paling ramai menjadi mangsa ISA. Semuanya kerana perjuangan
mereka membela rakyat serta mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa
kerajaan UMNO-BN.
Sehingga hari ini tuduhan ke atas
mereka tidak pernah dibawa ke mahkamah terbuka. Maksudnya sehingga hari ini
mereka tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan. Maksudnya dosa kezaliman dan
kekejaman masih terus ditanggung oleh pemerintah UMNO-BN.
Selain barisan kepimpinan yang
ada hari ini, ramai lagi tokoh DAP yang dimangsakan oleh kerajaan UMNO-BN.
Antara mereka adalah salah seorang pengasas DAP Chan Kok Kit (meninggal dunia
2001), Datuk Chian Heng Kai (meninggal dunia 2011), P. Patto (meninggal dunia
1995), Dr Kua Kia Soong, M. Manoharan dan berapa orang lagi yang menjadi
penghuni kemn tahanan tanpa bicara di bawah ISA.
Segala tangisan dan penderitaan
kaum keluarga serta sanak saudara dan sahabat handai mereka tidak dipedulikan
sama sekali oleh kumpulan elit yang berada di tampuk kuasa.
Asas-asas perjuangan
Inilah pengorbanan para pemimpin
dan ahli DAP semata-mata memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.
Mengimbas kembali, asas-asas yang
mereka perjuangkan adalah berdasarkan:
* Berjuang menerusi cara-cara
berperlembagaan untuk menubuhkan satu masyarakat bercorak demokrasi sosial;
* Memelihara negara Malaysia yang demokratik berasaskan hak mengundi
dewasa sejagat rakyat Malaysia ;
* Menghapuskan ketidakseimbangan
ekonomi dan peluang dalam sistem sedia ada; mewujudkan ekonomi yang memberikan
peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat dan pulangan ekonomi setimpal dengan
usaha dan kemahiran mereka;
* Memastikan kehidupan yang
memuaskan dan keselamatan sosial kepada golongan tua dan kurang upaya; dan
* Menyemai semangat perpaduan
negara, bermaruah dan berdikari di kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka
dengan perasaan untuk berikhtiar dalam mewujudkan satu masyarakat yang makmur,
stabil dan saksama.
Atas perjuangan inilah para
pemimpin dan ahli DAP sering menjadi mangsa kerakusan kuasa UMNO-BN.
Kini 46 tahun sudah berlalu, dan
DAP tetap cekal dan tabah dengan prinsip perjuangan yang sama. Dengan
berbekalkan Perlembagaan Persekutuan yang diterima pada 1957, perjuangannya
tetap mahu membebaskan rakyat dari cengkaman politik perkauman dan salah guna
kuasa serta korupsi.
Perjuangan DAP yang dipenuhi
dengan duri dan air mata akan tetap diteruskan. Generasi masa kini lebih
memahami erti perjuangan. Mereka sudah afdal dalam membezakan antara kebenaran
dan fitnah.
Rakyat mahu ubah sekarang, rakyat
mahu selamatkan Malaysia .
– Roketkini.com

没有评论:
发表评论