Source: Roketkini.com
Oleh V. Sivakumar
3 March 2012
Tiga tahun yang lalu iaitu pada 3
Mac 2009 satu peristiwa bersejarah telah berlaku di negeri Perak. Peristiwa itu
tidak boleh dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia .
Pertama kali dalam sejarah negara
ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Perak telah berlangsung di bawah ‘Pokok
Hujan-hujan’. Walau pun persidangan itu nampak ganjil, ia telah membawa
makna yang besar dalam sejarah politik tanah air kita.
Pesidangan Bawah Pokok ini
bukanlah bertentangan dengan undang-undang atau perlembagaan negara. Ramai di
antara pakar-pakar perlembagaan bersetuju bahawa Pesidangan Bawah Pokok itu adalah
sah di sisi undang-undang.
Untuk satu persidangan Dewan
Negeri yang sah hanya 2 syarat perlu dipenuhi, iaitu kehadiran Speaker
dan korum yang mencukupi.
Pada 3 Mac 2009, persidangan yang
berlaku di bawah pokok itu memenuhi kedua-dua syarat yang diperlukan oleh
undang-undang. Oleh yang demikian, Persidangan Bawah Pokok itu adalah sah.
Tidak ada apa-apa syarat
mandatori untuk memastikan persidangan harus diadakan di tempat tertutup
seperti dalam dewan. Bumbung dan dinding bukanlah syarat yang perlu ada untuk
mengadakan satu persidangan Dewan Negeri yang sah.
Saya telah mengeluarkan notis
persidangan tergempar kepada semua ahli-ahli Dewan Negeri Perak. Tetapi
Ahli-ahli Dewan Negeri Barisan Nasional telah mengambil keputusan supaya tidak
menghadiri persidangan tersebut.
Mereka menuduh bahawa saya
telah memanggil persidangan haram. Alasan mereka itu adalah untuk mengelakkan
diri daripada menghadiri persidangan itu. Mereka risau, Barisan Nasional tidak
dapat membuktikan undi majoriti di dalam Dewan Negeri Perak. Jika mereka gagal
berbuat demikian, Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa di Perak.
Barisan Nasional mendakwa bahawa
Speaker tidak ada kuasa untuk memanggil Dewan bersidang. Ini adalah tidak benar
kerana dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Negeri Perak kuasa itu
diberikan kepada Speaker.
Speaker mempunyai kuasa untuk
menentukan tarikh dan masa persidangan. Barisan Nasional cuba meniadakan
kuasa itu untuk kepentingan politik mereka. Tetapi, saya tidak boleh tunduk
kepada kehendak golongan yang gilakan kuasa ini.
Saya telah diberi mandat oleh
Dewan Negeri Perak untuk menjalankan tanggungjawab saya berasaskan
prinsip-prinsip demokrasi. Oleh itu, saya tetap mahu meneruskan
persidangan tergempar itu walau pun dihalang dan diugut oleh pelbagai pihak.
Polis lindungi siapa?
Pada pagi 3 Mac 2009,
beratus-ratus anggota polis dan FRU sudah berkumpul di Bangunan Perak Darul
Ridzuan untuk menghalang saya dan wakil-wakil rakyat yang lain bersidang
seperti yang dirancang. Kami dihalang di pintu masuk ke Bangunan Perak Darul
Ridzuan.
Setiausaha Kerajaan Negeri telah
memberi arahan kepada pihak polis untuk menghalang persidangan itu. Pihak
eksekutif telah menafikan kuasa Speaker dan mencemar amalan demokrasi berparlimen
di negeri Perak.
Selepas bertikam lidah dan
sedikit pergelutan dengan pihak berkuasa dan polis, wakil-wakil rakyat
terpaksa meninggalkan tempat itu. Pihak polis sudah bersedia untuk
menggunakan kekerasan terhadap orang ramai yang berkumpul di situ. Ramai juga
samseng-samseng telah dibawa dari luar untuk menghalang wakil-wakil rakyat
daripada bersidang pada hari itu.
Kemudian, Ahli-ahli Dewan Negeri
Pakatan Rakyat telah berkumpul semula di bawah sebuah pokok kira-kira 150 meter
daripada Bangunan Perak Darul Ridzuan. Pada masa itu, saya telah mengambil
keputusan untuk meneruskan persidangan Dewan Negeri Perak di bawah pokok
itu berasakan ‘doktrin keperluan’.
Keputusan itu dibuat dalam
keadaan terdesak kerana saya tidak boleh membatalkan persidangan yang telah
diberi notis kepada semua wakil-wakil rakyat.
Dalam persidangan yang aneh itu,
3 usul telah diluluskan. Persidangan yang bersejarah itu berlangsung
selama lebih kurang 30 minit. Pesidangan itu telah disaksikan oleh lebih
daripada 2,000 orang. Selepas itu semua wakil rakyat dan orang awam telah
bersurai dari kawasan tersebut.
Semangat perjuangan
Sehingga hari ini persidangan
bawah pokok menjadi satu topik perbualan politik yang hangat.
Saya juga sedang menulis sebuah
buku yang menceritakan krisis politik Perak yang dilihat dari kaca mata seorang
Speaker. Tema buku itu juga adalah mengenai Persidangan Bawah Pokok yang
membawa seribu satu makna dalam hidup saya.
Saya masih teringat setiap detik
Persidangan Bawah Pokok yang berlaku tiga tahun yang lalu. Setiap kali saya
imbas kembali peristiwa itu, saya mendapat semangat perjuangan yang lebih
kental untuk menuntut keadilan. – Roketkini.com
没有评论:
发表评论