Source: Roketkini.com
Oleh Adil Mat Selamat
29 February 2012
“Mari kita tanya Chua Soi Lek
sama ada beliau bersetuju dengan Utusan Malaysia bahawa DAP merupakan parti
paling rasis di dunia? Jika beliau tidak setuju, adakah beliau akan berani
mengutarakannya kepada Utusan Malaysia ?”
Soalan itu daripada Ketua
Parlimen DAP Lim Kit Siang ditujukan kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
sebulan yang lalu. Sehingga hari ini, Presiden MCA itu belum menjawabnya.
Mungkin kerana beliau sedar bahawa DAP adalah parti anti-perkauman yang membuka
keahliannya kepada semua kaum tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Sebaliknya, beberapa hari lalu,
dalam satu ucapan sempena ulang tahun MCA yang ke-63, Chua dengan bangganya
mengisytiharkan bahawa MCA adalah parti berbilang kaum (multiracial). Alasan
beliau ialah MCA tidak lagi menangani isu-isu kaum Cina sahaja.
Jika benarlah apa yang Chua Soi
Lek itu maksudkan, ini adalah satu petanda yang sangat menyihatkan untuk
politik Malaysia
amnya. Ia menjadi simbol kejayaan politik rakyat yang bergerak seiring dengan
perubahan zaman.
Malah, ia juga petanda MCA,
secara sedar atau tidak, menerima kepelbagaian kaum sebagai asas untuk
perpaduan rakyat. Sayangnya masih ada ramai pemimpin MCA, termasuk Chua
sendiri, yang cakap tak serupa bikin.
Contohnya, pada bulan lalu,
Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang telah mengutuk Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang didakwanya
menindas kaum Cina kerana menganugerahkan projek melalui tender terbuka kepada
kontraktor Melayu yang layak menerimanya.
Apakah yang dikatakan sebagai
parti yang berbilang kaum? Adakah kerana ahli-ahlinya, agenda-agendanya atau
dasar-dasarnya?
Tanpa ahli atau penyertaan yang
berbilang kaum, sama ada secara langsung atau pun tidak (dalam parti), tidak
mungkin kehendak atau kepentingan sesuatu kaum itu dapat dikongsi dan didukung
bersama-sama. Konsep lengkap-melengkapi tidak dapat wujud dalam organisasi itu.
Tanpa wujud dinamika ini dalam
organisasi, maka apa-apa dasar dan isu tidak dapat dijadikan sebagai agenda
bersama yang menyeluruh dan merangkumi semua keperluan kaum-kaum yang ada.
Tidak mungkin majoriti ahli yang
berbangsa Melayu mampu memahami keperluan dan kehendak kaum minoriti Cina atau India , tanpa
penglibatan kaum-kaum ini dalam satu ruang organisasi yang sama (sama rata dan
sama adil).
Dalam politik, perjuangan atas
premis ‘isu’ sahaja tidak memadai tanpa ada perjuangan untuk membuka ruang
kepada semua kaum. Jika hanya perjuangan atas ‘isu’, itulah yang dikatakan
retorik dan propaganda politik.
Jelasnya, ciri asas atau bentuk
sebuah parti/organisasi yang pelbagai kaum itu mestilah disertai oleh pelbagai
kaum dengan hak dan peluang keahlian yang sama rata. Perkongsian ini akan
mewujudkan dinamika politik, inilah yang dinamakan politik pelbagai kaum.
Silap mata kuota kaum
Dalam masa yang sama, jangan pula
kita terleka dengan silap mata yang bernama “pelbagai kaum” ini. Sungguh pun
ciri-ciri asasnya memerlukan penyertaan ahli secara fizikal dan intelek ke
dalam sesuatu organisasi, jumlah penyertaan itu tidak boleh dijadikan sandaran
atau indikasi mutlak bahawa sesuatu pertubuhan itu sudah berjaya mengamalkan
dasar pelbagai kaum.
Malah, parti-parti seperti DAP
atau PKR harus sedar bahawa dengan semata-mata adanya kaum Cina, Melayu, India,
Kadazandusun atau Iban dalam parti, sama ada sebagai ahli mahu pun pemimpin,
itu belum dapat dijadikan kayu ukur yang sempurna sebagai parti berbilang
kaum.
Jumlah atau nombor ini hanyalah
sekadar syarat asas yang memerlukan elemen lain untuk memastikan nombor itu
diterjemah menjadi satu nilai yang adil. Risiko jumlah atau nombor boleh
bertukar menjadi “kuota”.
Pengalaman demokrasi telah
menunjukkan bahawa sistem “kuota” – walau pun mungkin ada baiknya di peringkat
awal, jika biarkan ia bakal mematikan merit, kelayakan dan keadilan – tidak
akan menjanjikan dasar pelbagai kaum itu dapat dijayakan secara efektif,
efisien dan adil.
Dasar yang jelas dan terbuka
Ringkasnya, dalam isu ini, jumlah
penyertaan ahli dalam sesuatu organisasi bukanlah ramuan mutlak yang mampu
membuahkan hasil yang terbaik.
Yang penting adalah sikap dan
pegangan peribadi setiap ahli dan pemimpin bahawa mereka benar-benar jujur
memperjuangkan hak dan keadilan untuk setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama
dan latar belakang masing-masing.
Dalam kes MCA, bentuk dan
ciri-ciri politik pelbagai kaum itu tidak akan berlaku selagi ia hanya
membenarkan kaum Cina sahaja menjadi ahlinya. Malah jika ditakdirkan MCA
meminda perlembagaan partinya untuk menjadi organisasi pelbagai kaum pun, ia
belum cukup kukuh jika wujud “kuota” yang memastikan hanya satu kaum sahaja
layak memegang teraju kepimpinan.
Namun, sama ada Chua teringin
melihat MCA popular sebagaimana kepelbagaian kaum DAP atau benar-benar mahu
mengubah lanskap politik Malaysia ,
ia sesuatu yang harus dipuji.
Isyarat ini cukup kuat sekali
buat UMNO yang mana para pemimpin dan pecacainya masih di bawah tempurung benci
yang sering mengapi-apikan sentimen perkauman. Mungkin suatu masa kelak, jika
UMNO terus duduk dalam tempurung politik perkaumun, maka ia akan berseorangan
dalam mengharungi politik Malaysia …mungkin.
– Roketkini.com
Source: http://roketkini.com/2012/02/29/mca-teringin-jadi-pelbagai-kaum-seperti-dap-oleh-adil-mat-selamat/
没有评论:
发表评论