“Entah mengapa terlalu terasa
pergolakan pitam,
segala lendir-lendir nanah masih
pekat melimpah.
Dan petang yang datang dijangka
membawa harum harapan
selalu petang yang sudah
kehilangan senyumannya.
Bertundalah kekalahan dalam
kehidupan manusia
tapi kita mesti pantang berpaling
dari dikarami kecewa.”
— petikan dari puisi bertajuk
Hitam oleh Sasterawan Negara A Samad Said, yang ditulis beliau pada tahun 1956
ketika Persekutuan Tanah Melayu sedang hangat dalam gelora menuntut
kemerdekaan.
A Samad Said atau Abdul Samad bin
Muhamed Said tidak dapat tidak merupakan sosok penting dalam kesusasteraan
Melayu moden, malah beliau yang dilahirkan pada 9 April 1935 ini juga kritis
dan lantang bermadah mengalunkan puisinya bagi menegakkan apa yang dilihat
beliau sebagai kebobrokan, kehodohan institusi politik.
Mengikut resmi padi, makin berisi
makin menunduk, tetapi buat Sasterawan Negara ini, beliau memilih untuk tidak
seperti padi. Ini jelas ditonjolkan beliau dengan kerap turun ke jalan raya
memimpin dan bersama rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sistem
perjalanan politik negara yang kian meruncing ini.
Tidak hairan, kian lama, walau
usianya makin tua, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Bersama Bersih.
Dari jalur seni, sejarah
sehinggalah kepada isu politik tanah air, beliau melampirkan buah fikiran
beliau dengan penuh lemah lembut (namun berisi dan padat katanya), sebagai
Sasterawan Negara, sebagai pelukis, sebagai pemerhati masyarakat, dan sebagai
perakam kisah buat generasi akan datang.
Dipersilakan membaca wawancara
bersama Pak Samad yang boleh dianggap sebagai ‘the living legend’ ini.
Sedikit latar belakang Pak Samad
yang jarang-jarang diketahui umum.
Ramai orang tak tahu saya seorang
anak yang gagap, susah untuk bercakap. Oleh kerana itu menjadikan saya anak
yang suka menyendiri. Jadi kerana itu juga minat saya tertumpu untuk membaca.
Kebetulan saya mempunyai
guru-guru yang baik di sekolah, dari pelbagai bangsa. Mereka ini sangat
simpatik kepada saya, bukan sahaja kerana kehidupan saya, tetapi juga kerana
minat saya. Minat membaca itu kerana saya tidak berinterasi dengan orang kerana
gagapnya, oleh itu masa kecilnya tertumpu kepada membaca.
Yang lain, yang jarang diketahui
barangkali minat saya dalam lukisan. Itu amat tidak diketahui orang. Tapi ada
diusahakan untuk dipamerkan lukisan saya dan untuk dijualkan.
Itu sesuatu yang tidak menonjol…
Tapi sebenarnya isi daripada lukisan itu agak selari dengan sikap saya,
pendirian saya tentang hal-hal yang tertentu. Lukisan-lukisan itu biasanya
berbentuk hitam-putih tetapi berisikan puisi-puisi tertentu. Dan sejauh ini
saya ada sebanyak 100 lukisan yang saya punya sendiri.
Di samping lukisan saya sendiri,
saya juga membeli lukisan orang. Saya juga mempunyai lukisan dari teman-teman
yang boleh dikatakan sekarang ini sedang menyuburkan dunia lukisan sekarang.
Dan saya ada beberapa lukisan yang mewakili hasil cipta teman-teman itu. Ada kira-kira dalam 60,
70 lukisan, serendah RM500 dan setinggi RM18,000.
Seniman generasi sekarang yang
Pak Samad ikuti, dan pandangan Pak Samad mengenai subjek yang ditimbulkan
generasi kini?
Ya, memang sekarang ini saya
berlegar saja dengan teman artis muda. Minat saya adalah untuk memahami, apa
yang menjadi subjek mereka ke dalam lukisannya. Maksudnya, apakah yang ingin
diluahkan? Sesuatu yang sama ada digemarinya, atau sesuatu yang dibencinya.
Jadi lukisan-lukisan itu memberi
saya peluang untuk memahami isi hati dan perjuangan angkatan muda. Kalau dari
segi lukisan memang terbayang keresahan, ertinya lukisan itu membayangkan
keretakan-keretakan yang sedang berlaku dalam dunia siasah kita sekarang. Itu antaranya
dapat ditangkap dalam lukisan seperti Rahmat Haron…Itu memang jelas.
Bagaimana Pak Samad melihat karya
generasi kini dalam konteks demografi sosio-politik?
Apa yang berlaku sekarang adalah
kerlipan-kerlipan rakaman tentang keresahan kelompok muda terhadap pergolakan
yang sedang berlaku sekarang dalam dunia siasah. Dan nampaknya, memang sudah
muncul beberapa bekalan intelektual yang bersedia untuk bersoal jawab. Malah
besedia juga untuk mengadakan tindakan-tindakan demonstran yang menguji.
Dan saya tidak mengatakan
bahawasanya mereka ini langsung saja masuk ke dalam dunia gelora demonstran itu
secara mereka tidak faham. Dan saya kira apa yang sedang berlaku sekarang ini
dan beberapa mahasiswa yang berlawan untuk memansuhkan AUKU itu, itu adalah
bibit-bibit yang harus diperhatikan.
Memang benar bahawasanya jumlah
itu sekarang ini agak kecil, tapi jangan terperanjatlah kalau gelombang ini
akan berkembang, dirangsang oleh gelombang-gelombang reaksi dunia dikalangan
orang-orang muda. Sebab dunia siasah sudah terlalu lama sangat dikendalikan
oleh orang tua yang sudah kehilangan idealisme, kehilangan cita-cita. Tidak
lagi mereka berpeluang untuk berjuang untuk mengasaskan satu idealisme atau
landasan perjuangan demi kebajikan kebangsaan.
Perbezaan antara Asas 50 dan
signifikannya dengan zaman sekarang?
Secara mudah Asas 50 (Angkatan
Sasterawan 1950) mempercayai bahawasanya masyarakat harus dibela dan pembelaan
itu harus dilakukan melalui medium sastera. Tapi oleh kerana tahun itu, tahun
menentang penjajahan, jadi seni itu juga dirasakan wajib dimanfaatkan untuk
menyanggah penjajahan.
Di samping cita-cita yang nampak
sampingan, tapi masih, Asas 50 ialah perjuangan untuk mengkayakan bahasa.
Sebuah bangsa yang mula merdeka dan mengkhayalkan bahasa itu akan menjadi
bahasa yang meluas.
Sebab itu pandangan Asas 50 atau
pun contoh-contoh yang diambilnya daripada Angkatan 45 di Indonesia sebab kita
tidak memandang Bahasa Melayu itu sebagai bahasa untuk 20 juta orang, kalau
sekarang misalannya, tetapi bahasa untuk 300 juta orang di dalam wilayah
Nusantara.
Oleh kerana orang-orang Asas 50
yang asas sudah tidak ada, jadi perjuangan itu tidaklah seghairah dulu. Jadi
angkatan-angkatan baru tidak terikat oleh Asas 50 walau pun mereka tahu tentang
Asas 50 dan mereka tunduk daripada iklim yang sama sekali lain.
Yang tinggal, saya fikir, ialah
kesedaran bahawasanya seni itu adalah alat untuk memperjuangkan keadilan untuk
masyarakat. Digambarkan secara kepincangan secara jujur dan merangsang atau
mengharapkan daripanya itu disedari bahawasanya masyarakat kita masih bobrok,
sedang bobrok dan tidak harus dibiarkan itu bobrok.
***
Kotornya Hanyir di Bumi Ini
Terhenyak senak rasa di dada
melihat manusia gila
lupa jalan jernih menuju Tuhan
yang Maha Pengasih.
Liar ketawa mereka – api darah
terhambur merah
sedia membakar bersih sesama
manusia tertindih.
Dadanya tiada luka – kemanusiaan
tiada terpelihara,
sesama yang bernafas masih
sebegitu ganas.
Patahlah tangan-tangan menantikan
kebahagiaan yang berpanjangan
masih belum berlabuh di teluk bahagia
yang terlalu jauh!
Kecemasan berlaku di antara
menara harapan yang palsu,
manusia segera membahagi keadilan
sama rata
terlantar pun insan sepi, yang
menghenyakkan insan sendiri
mana hati budi yang sepatutnya
terpelihara wangi!
Hanyutkan kotoran hanyir dari
bumi sebusuk ini
baharulah tanah makmur dengan
keadilan mengembang subur!
Utusan Zaman
11 Mac 1956
***
Maka, atas semangat itu, Pak
Samad menyertai gerakan awam?
Saya tidak mahu memandangnya dari
sisi itu. Saya memandang bahawasanya kesusasteraan tugasnya adalah merakamkan.
Ertinya apa yang sedang berlaku, apa yang sudah berlaku atau pun apa yang
dikhayalkan akan berlaku. Cuma oleh kerana saya seorang penulis, makanya saya
harus merasakan, ya, saya harus merakam sahaja. Hasil cipta ini ialah gunanya
untuk di baca.
Tapi saya merasakan kegeloraan
siasah di tanah air itu sudah begitu boleh dikatakan agak memuncak, makanya
saya sendiri, dan saya tidak mewakili sasterawan-sasterawan lain, saya sendiri
bergaul di tengah-tengah kelompok yang berjuang untuk mendapatkan satu dunia
yang adil, saksama, satu dunia yang tidak perkauman.
Dan saya merasakan sudah tidak
lagi cukup seorang sasterawan itu hanya menulis. Kalau dia menulis, dia harus
menunggu orang untuk membaca dan pembaca memang sedikit sebenarnya oleh kerana
minat pembacaan itu telah diganggu dengan minat-minat yang lain.
Dan kerana itu, dan saya
mengambil masa yang lama sebenarnya untuk turun ke tengah masyarakat yang
bergelora dari sisi itu. Boleh dikatakan hanya tahun sudah, tahun sudah usia
saya 75 tahun, tapi tidak bererti saya tidak melihat segala apa yang berlaku
selama ini.
Tetapi, terakhir, memandangkan
tidak cukup saya fikir bahawasanya sastera tidak dapat membibitkan, mencetuskan
gelora untuk turut memungkinkan kelahiran sebuah masyarakat yang tidak tercapai
oleh kita sesudah setengah abad.
Dan itu sebenarnya membuat saya
berfikir, “mengapa tidak?” Kalau ada unsur-unsur yang baik yang saya bleh
menyertai, mengapa tidak?
Dan saya sendiri pun tidak
tersangka sebenarnya bahawasanya saya diterima begitu sahaja, dan diterima
baik, sebaik kalau diikuti betul-betul, perjuangan saya yang pertama, yang
terpaksa saya berada di tengah jalan raya ialah memperjuangkan bahasa
saya, menghentam PPSM dan yang kedua itu Bersih. Dan itu bukan kehendak saya
sahaja, penerimaan daripada masyarakat bahawasanya saya wajar berada di
tengahnya.
Bagaimana keterlibatan golongan
seni dapat membantu menggerakkan masyarakat?
Secara mendadak, tidak. Tetapi
secara meresap, ia menjadi. Pertumbuhan buku-buku dalam bahasa Melayu
misalannya, itu sahaja gambaran bahawa bahasa itu sedang berkembang. Mungkin ia
tidak begitu berkembang di sekolah oleh kerana keyakinan pihak kerajaan
bahawasanya bahasa inggeris itu harus diutamakan untuk mengejar kehidupan
duniawi, mungkin.
Tapi kalau anda tengok
perkembangan-perkembangan bahasa walau pun tidak sepenuhnya bermutu,
perkembangan itu agak berselerak sekarang. Dan bila saya katakan perkembangan
bahasa itu, tidak mesti penggunaan bahsa sahaja, tetapi dia masuk ke dalam
dunia filem juga.
Berapa banyak hasil cipta dalam
bahasa Melayu yang tersebar di televisyen? Terakhir ini, bagaimana sebuah novel
yang tidak tersangkakan, Ombak Rindu, menjadi begitu dinematik. Itu adalah
contoh-contoh bayangan bagaimana dunia seni menjalar dan masuk ke dalam hati
orang ramai.
Jadi saya fikir walau pun tidak
dipandang murni atau tidak dipandang menguntungkan dari sisi duniawi oleh
sekelompok orang yang memerintah, tetapi saya fikir kesedaran itu sedang
berkembang.
Dan saya lihat anak-anak muda
dalam LRT duduk membaca novel misalannya. Tidak sahaja minat membaca itu
tumbuh, tetapi minat membaca buku Melayu itu sudah berkembang. Itu amat
menyenangkan hati saya.
没有评论:
发表评论