Source: Roketkini.com
Oleh T.K. Tan
27 February 2012
Berita tentang kepincangan dan
keburukan pemerintahan UMNO-BN telah lama dan luas tersebar dalam alam
internet, ceramah dan apa-apa ruang yang gagal disekat oleh pemerintah yang
bencikan kebebasan maklumat. Malah, tidak silap jika dikatakan rata-rata mereka
yang sering membaca berita melalui laman internet sudah sedia maklum tentang
budaya rasuah dan salah guna kuasa UMNO-BN.
Namun kebanyakan orang, terutama
yang daripada kaum Melayu, bila ditanya kenapa masih memilih UMNO-BN sebagai
wadah pemerintahan mereka, mereka mengeluh kerana tiada pilihan mantap
disajikan. Pakatan Rakyat? Hanya nada sinis menjadi jawapan mereka.
Sebagai majoriti penduduk Malaysia , kaum
Melayulah penentu masa depan negara ini. Laungan Pakatan “Ubah Sekarang,
Selamatkan Malaysia ”
tidak akan menjadi realiti selagi kesemua 60 peratus pengundi Melayu masih
memangkah dacing pada pilihan raya umum yang akan datang. Hakikatnya lebih
daripada 50 peratus kerusi parlimen Malaysia bermajoritikan pengundi
Melayu.
Selagi orang Melayu masih sangsi
dengan pilihan alternatif yang ada, maka UMNO-BN akan terus bermaharajalela
atas ehsan sokongan pengundi majoriti negara tersayang kita ini. Selagi itu
juga penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berleluasa. Kesannya, rakyat
menderita teruk.
Di kala berita tentang hakisan
sokongan pelbagai kaum lain terhadap BN kian tersebar, satu-satunya tonggak
sokongan yang tinggal untuk UMNO ialah pengundi Melayu, terutama mereka yang
berada di kawasan luar bandar. Maka tidak hairanlah apa yang difikirkan orang
Melayu sebagai sensitif perihalnya (Islam, Melayu, Raja atau 3R
– religion, race, royalty) menjadi mainan pimpinan UMNO walau pun
kebanyakannya hanya emosi kosong tanpa fakta.
Antara kebimbangan utama orang
Melayu ialah takut kehilangan payung naungan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seakan
tanpa DEB, Melayu akan melarat di bumi sendiri. Apakah ini benar?
Matlamat asal DEB adalah untuk
mengagih khazanah kekayaan negara dengan lebih seimbang antara kaum. Apakah
golongan terbanyak, iaitu para pekerja dan peniaga kecil sudah berkongsi
manfaat agihan khazanah ini?
Rekod UMNO dalam mengagih
khazanah negara amatlah tidak memuaskan. Walau pun pada mulanya ia memberi
manfaat, lama-kelamaan ia menjadi senjata UMNO untuk mengikat orang Melayu.
Menurut kajian penyelidik Jayanath Apadurai, 43.2 peratus daripada isi rumah
kaum Bumiputera mendapat pendapatan di bawah RM2,000 sebulan, yakni pendapatan
garis kemiskinan.
Berbanding dengan kaum Cina (21.2
peratus) dan India
(31.8 peratus) yang tidak mendapat apa-apa manfaat DEB, ini satu fakta yang
memalukan untuk UMNO yang hanya dilihat mengkayakan kroni-kroni mereka yang
sudah pun kaya-raya.
Hakikatnya tanpa merujuk kepada
apa-apa statistik pun, kebanyakan orang Melayu sedar tentang ramainya penduduk
Melayu tergolong dalam kategori miskin tegar.
Kebijakan Pakatan Rakyat
Pemimpin Pakatan Rakyat sedar
tentang fakta ini. Contohnya, sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan
kerajaan Pulau Pinang, PR terus turun padang
untuk membantu golongan miskin. Usaha untuk mengenal pasti dan mendaftar mereka
yang layak untuk elaun kebajikan masyarakat dipertingkatkan.
Dalam tahun 2008, terdapat 7,462
orang yang berdaftar sebagai penerima elaun kebajikan. Untuk tahun 2010 sahaja
terdapat angka ini melonjak kepada 24,529. Jelas masih ramai orang yang miskin
diMalaysia.
Kerajaan PR Pulau Pinang juga telah
melancarkan program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) untuk mereka yang tergolong
dalam kategori miskin tegar. Setakat Julai 2011 ,seramai 741 orang telah layak
mendapat bantuan kewangan sejumlah RM 18,8000 sebulan.
Tidak pula PR memilih bulu dalam
menghulurkan pertolongan asasi ini. Sejumlah 87 peratus daripada penerima RAK
adalah penduduk Melayu manakala 41 peratus daripada penerima RAK menetap di
kawasan parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor, masing-masing yang disandang
oleh bekas perdana menteri dan menteri kerajaan pusat.
Kerisauan kaum Melayu tentang
kekurangan upaya mereka dalam bersaing dengan kaum lain sudah pun dibukti salah
di Pulau Pinang . Semenjak sistem tender
terbuka diamalkan di Pulau Pinang, dari Mac 2008 hingga 2010, sebanyak 70
peratus daripada jumlah kontrak dan 57 peratus daripada nilai kontrak projek
kerajaan negeri dimenangi kontraktor Melayu. Ini menunjukkan yang orang Melayu
mampu bersaing tanpa tongkat DEB.
Perhidmatan awam bukan milik UMNO
Untuk memastikan sokongan orang
Melayu, ramai daripada jawatan awam diperuntukkan untuk mereka. Bagi ramai
graduan lepasan IPT Melayu, jawatan awam adalah suatu yang diidamkan kerana
pendapatan yang stabil serta faedah sampingan dan saraan yang lumayan.
Namun dasar ini tidak mungkin
berkekalan selamanya. Nisbah jumlah penjawat awam kepada jumlah penduduk Malaysia adalah yang tertinggi di rantau
Asia-Pasifik; Malaysia
mempunyai 4.68 peratus berbanding Thailand
(2.06 peratus), Korea Selatan (1.85 peratus) dan Indonesia (1.79 peratus).
Singkatnya, lebih ramai penjawat,
lebih besar belanjanya. Lebih besar belanjanya, semakin kurang peruntukan untuk
pembangunan rakyat berpendapatan rendah. Semakin ramai rakyat berpendapatan
rendah tidak dibantu, ia menimbulkan maslaah ekonomi dan sosial yang melibatkan
semua golongan rakyat.
Sejak krisi hutang negeri Greece
tercetus, sektor awamnya dikurangkan dengan drastiknya. Ekoran perjanjian
kerajaan Greece
dengan Kesatuan Eropah untuk mendapat pinjaman bon demi menampung hidup
kerajaan tersebut, perbelanjaan awam dipotong secara mendadak. Pada 18 Februari
kerajaan Greece
telah terpaksa bersetuju untuk mengurangkan bilangan penjawat awamnya seramai
150,000 orang.
Namun buat masa ini kita tidak
perlu mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Apa yang lebih penting ialah
memastikan semua pegawai dan kakitangan awam benar-benar profesional dan
melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka oleh rakyat. Tentunya
pegawai dan kakitangan awam tidak mahu nama mereka diburukkan oleh skandal dan
salah guna kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin politik.
Memberdayakan rakyat
Setakat ini tidak ada tanda-tanda
UMNO-BN mahu mengubah diri serta mereformasikan sistem yang lemah lagi
melemahkan. Jika rakyat khususnya orang Melayu mahukan perubahan, maka alternatifnya
adalah Pakatan Rakyat.
Apakah rancangan Pakatan dalam
menyelesai krisis ini? Buktinya telah ada. Semenjak mengambil alih kerajaan
Selangor dan Pulau Pinang, ramai belia digalakkan belajar kursus kemahiran
industri yang ditampung oleh kerajaan negeri dan menceburi bidang perniagaan
secara terus.
Di Selangor, melalui Tabung Anak
Pekerja Peladang, belia dari kumpulan miskin dibiayai kursus pembelajaran dan
sara hidup sepanjang pembelajaran kemahiran teknikal di kolej INPENS Selangor.
Pengusaha negeri Selangor juga
diperuntukkan pinjaman mikrokredit melalui MiMBAR dan SKIMSEL yang telah
dimanfaatkan oleh lebih daripada 1500 orang setakat September 2011.
Di Pulau Pinang mereka yang
dibantu melalui RAK digalakkan belajar buat kraftangan untuk menampung
kehidupan. Sejak kempen “Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari” kerajaan PP
telah mengedarkan beg buatan diperbuat daripada banting terpakai oleh penerima
bantuan RAK.
Walau pun usaha ini nampaknya
kecil, hendaklah diingatkan yang kerajaan negeri PR mempunyai dana yang terhad
untuk membuat program yang lebih substantif. Belanjawan Selangor untuk 2012
berjumlah sekitar RM 1.5 billion, iaitu kira-kira 1 peratus daripada jumlah
belanjawan kerajaan persekutuan.
Untuk mengupah kakitangan
kerajaan negeri, banyak prosedur penjawatan perlu dilalui yang ditetapkan oleh
Jabatan Perkhidmatan Awam, sebuah agensi kerajaan pusat.
Pakatan telah meletakkan matlamat
untuk mengupayakan rakyat dengan menaikkan mutu pendidikan tinggi, meningkatkan
produktiviti melalui latihan berterusan (yakni latihan teknikal, vokasional dan
industri) dan menggalakkan warga negara yang professional dan berkemahiran yang
bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyediakan suasana
kerja yang professional dan menarik.
Sebagai tonggak dan penentu hala
tuju politik tanahair, orang Melayu sebagai kaum majoriti memikul tanggungjawab
yang besar dalam menentukan masa depan negara kita yang dikongsi bersama ini. –
Roketkini.com
没有评论:
发表评论